Utama > Uncategorized > SIRAH : Rahsia Pemilihan Semenanjung Tanah Arab Sebagai Tapak Penyebaran Islam

SIRAH : Rahsia Pemilihan Semenanjung Tanah Arab Sebagai Tapak Penyebaran Islam


SEMENANJUNG Arab di masa itu merupakan suatu kawasan yang tenang, jauh dan terpencil dari gejala-gejala huru hara tadi. Bangsanya langsung tidak pernah merasai kemewahan dan kemajuan seperti PARSI; yang boleh membawa mereka ke arah kerosakan dan keruntuhan akhlak dan tidak pula mengagungkan-agungkan kekuatan tentera yang membolehkan mereka menjajah negara-negara di sekitarnya.

Mereka juga tidak menganut falsafah dan ideologi yang beraneka ragam seperti Greek Tua yang menyebabkan mereka menjadi mangsa kepada dongengan dan khurafat.

Tabiat semulajadi mereka ini tidak ubah seperti suatu ‘bahan yang mentah’yang belum pernah dilebur di mana-mana dapur dan dicorak di mana-mana acuan seolah-olah terbayang di layar kehidupan mereka seorang manusia semulajadi yang bersih mempunyai kemahuan yang kuat ke arah pembentukan manusia yang terpuji yang mempunyai sifat-sifat amanah, pemurah, suka menolong dan bencikan kezaliman.

Apa yang mereka perlu hanyalah pengetahuan yang dapat menyinari jalan-jalan ke arah tersebut kerana mereka ini hidup dalam kejahilan yang gelap memekat.

Kebanyakan mereka telah sesat untuk sampai ke arah kemanusiaan yang sebenarnya. Mereka membunuh anak perempuan kerana mahu menjaga maruah, membelanjakan wang yang banyak dengan harapan mahukan kemuliaan dan berperang sama sendiri dengan tujuan mempertahankan kehormatan.

Segala-galanya ini telah diterangkan oleh Allah swt dalam Quran dengan maksudnya :

”Dan sesungguhnya kamu sebelum hari ini adalah dari golongan orang-orang yang telah sesat,” baqorah 198

Penegasan ini lebih merupakan keuzuran dan kemaafan bagi mereka daripada penghinaan ke atas mereka.

Ini adalah memandangkan bangsa-bangsa lain telah menggunakan tamadun dan kemajuan mereka sebagai alat ke arah kerosakan sedangkan mereka ini sedar malah merancang sedemikian.

Disamping semuanya ini, Semenanjung Arab di segi kedudukan muka buminya pula terletak di pertengahan bangsa-bangsa tersebut iaitu Parsi dan Rom yang bergolak di sekelilingnya.

Muhammad Al-Mubarak seorang professor Mesir telah mengutarakan pendapat dengan katanya,

”Orang yang memerhati dan memandang kepada bangsa Arab akan dapat melihat bagaimanakah bangsa-bangsa Arab boleh berdiri di masa silam di tengah-tengah dua tamadun yang melebar di kiri kanan.

”Di sebelah kirinya tamadun barat yang keterlaluan telah cuba menciptakan gambaran dan imej manusia dengan alirannya yang kering pucat tak berhias dan tidak berjejas dengan hakikat keinsanannya. Di sebelah kanannya pula tamadun kerohanian dan kejiwaan yang melambung ke alam khayalan seperti yang terdapat di India, China dan sebagainya,”

Setelah kita dapat menggambarkan hal keadaan bangsa Arab dan semenanjungnya sebelum Islam juga hal keadaaan bangsa-bangsa lain yang mengelilinginya maka mudahlah bagi kita menyingkap di sebaliknya apakah hikmat-hikmat Allah mengutuskan Rasul utusan di Semenanjung Arab itu dan bangsa Arab pula merupakan golongan pertama buat perintis jalan-jalan ke arah penyebaran obor seruan dakwah Islamiah yang kini telah dianuti oleh umat manusia di seluruh pelusuk alam.

Bukanlah sepertimana yang disangka oleh sesetengah golongan yang mengatakan bahawa pengikut-pengikut-pengikut agama sesat adalah sukar untuk mengubati jiwa mereka dan sukar memberi tunjuk ajar kerana mereka ini taasub dan membanggakan keburukan, kehancuran dan kemusnahan yang pada sangkaan mereka semuanya baik.

Sedangkan mengubati dan memberi tunjuk ajar kepada mereka yang sedang mencari-cari kebenaran lebih mudah kerana mereka ini sama sekali tidak menafikan kejahilan mereka sendiri dan tidak pula membanggakan atau bermegah-megah dengan hasil tamadun kerana mereka langsung tidak mempunyai tamadun.

Golongan ini paling mudah sekali untuk diperbaiki dan diberi dorongan kepada mereka. Bagi kita bukanlah ini yang dikatakan hikmat Ilahi, kerana penganalisa yang seumpama ini hanya tepat kepada mereka yang mempunyai daya dan tenaga yang terbatas sahaja, memilih yang senang dan meninggalkan yang susah kerana tidak mahukan penat lelah.

Andaikata Allah mahu menjadikan pancaran dakwah Islamiah di mana-mana bahagian di Parsi atau Rom atau India bersinar cemerlang maka sudah pasti pula Allah akan menyediakan kemudahan dan cara-cara sehingga berjaya dakwahnya seperti mana yang berlaku di Semenanjung Arab.

Soal ini tidak pula menjadi bebanan, kerana Allah swt Pencipta alam semesta. Namun hakmah Ilahiyyah memilih Semenanjung Arab dan Rasul utusan itu tadi (seorang yang buta huruf, tidak boeh membaca dan menulis sepertimana yang diterangkan oleh Allah dalam kitab suciNya) agar manusia seluruhnya tidak merasa syak wasangka terhadap keNabian dan keRasulannya.

Sebagai penutup dan epilog kepada hikmah Allah ialah suasana persekitaran tempat Rasulullah diutuskan di mana di dalamnya wujud suatu suasan buta huruf juga dan jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain yang hidup di sekelilingnya mereka juga belum pernah dimasuki dan diracuni oleh sebarang tamadun, pemikiran dan kerumitan falsafah yang berserabut.

Diantara hikmah Ilahi juga ialah menghindarkan perasaan syak wasangka manusia apakah Muhammad saw ini boleh membaca dan mempelajari kitab-kitab lama yang mengandungi sejarah purba dan tamadun negara tetangga dan menghindarkan juga sangkaan buruk terhadap Muhammad sekiranya dakwah Islamiyyah ini timbul di kalangan umat manusia yang bertamadun dan mempunyai falsafah seperti Parsi, Greek Tua dan Romawi.

Sebabnya ialah sangkaan buruk ini akan memberi suatu gambaran yang buruk iaitu dari siri tamadun dan falsafah yang terakhir dalam bentuk tamadun yang tulen serta kemas dengan perundangan yang lengkap.

Hikmah-hikmah Ilahi ini telahpun diterangkan dengan tegas dan jelasnya dalam al-Quran dengan maksudnya,

”Dialah (Allah) yang telah mengutuskan di kelompok buta huruf seorang utusan daripada kalangan mereka (untuk) menyampaikan kepada mereka ayat-ayatNya dan menjauhkan mereka daripada syirik dan mengajar mereka kitab-kitab dan hikmat dan sesungguhnya mereka itu dahulunya dalam kesesatan yang amat sangat,” – al Jumuah 62;2

Sudah kehendak Allah mengutuskan utusanNya yang buta huruf, begitu juga bangsa yang akan timbul Rasul di kalangannya juga satu bangsa yang kebanyakannya buta huruf, agar mukjizat keNabian dan syariat Iskam itu terjulang nampak dan jelas di antara domga-dogma dan seruan manusia lain yang beraneka corak.

Di sana terdapat hikmah Ilahi yang lain, dan boleh diiringkan seperti berikut :

1) Seperti yang diketahui di mana Allah swt telah menjadikan Baitul Haram itu tumpuan dan kesejahteraan untuk umat manusia seluruhnya dan merupakan rumah yang pertama untuk manusia beribadat serta mempraktikkan rukun-rukun agama.

Sesungguhnya lembah Makkah ini telah menjalan dan melaksanakan seruan bapa para Anbiyak iaitu Sayyidina Ibrahim as. Tepat dan kena pada tempatnya di mana kawasan yang mulia ini menjadi muara seruan agama Islam yang pertama iaitu agama Nabi Ibrahim dan juga tempat pengutusan Nabi yang terakhir. Kenapa tidak? Bukankah Nabi saw ini dari keturunan Nabi Ibrahim as.

2) Dari segi ilmu geografinya maka semenanjung Arab ini telah dipilih untuk bebanan tanggungjawab dakwah Islamiyyah di kalangan bangsa-bangsa dan negara yang di sekelilingya tersebar dengan mudah. Ini ternyata sekali bila kita mengkaji semula perjalanan dakwah Islamiyyah di zaman permulaannya dan di zaman khulafa al-rasyidin. Memang tepat seperti yang ditegaskan tadi.

3) Sebagai hikmat Ilahi juga yang menjadikan bahasa Arab itu sebagai media dakwah Islamiyyah dan bahasa pertama buat menerang dan mentafsirkan percakapan atau kalam Allah swt untuk disampaikan kepada kita.

Kalau kita perhatikan dengan teliti tentang keistimewaan bahasa-bahasa diikuti dengan satu perbandingan dengan bahasa Arab maka dengan jelas kita dapati yang bahasa Arab mempunyai keistimewaan yang sukar didapati dalam bahasa-bahasa lain. Maka sudah layak baginya untuk menjadi bahasa pertama dan utama untuk umat Islam di mana mereka berada.

Sumber : Feqh Sirah Ramadhan al-Buthi

Advertisements
Kategori:Uncategorized Tag:
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: