Utama > Uncategorized > KISAH : Puncak Kritis Menjelang Israk

KISAH : Puncak Kritis Menjelang Israk


ABU TOLIB sudah meninggal dunia. Nabi saw amat bersedih kerana bapa saudaranya itu telah membela baginda dengan segala kemampuannya dan kemudian meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman kepada Islam.

”Sampai saat bapa saudaraku mati, orang quraisy tidak berani menyakiti jasmaniku,” kata Nabi sebagai mengenangkan peranan Abu Tolib. Kini beliau wafat maka sudah tentu quraisy akan melakukan tindakan lebih keras kepada dirinya.

Tidak lama kemudian, Nabi kehilangan Khadijah. Isteri baginda wafat. Isteri yang berbudi dan berjasa besar kepadanya. Bertambah-tambahlah kesedihan baginda, namun Nabi menerimanya dengan tabah sebagai takdir Allah yang Maha Kuasa.

Ahli sejarah menamakan saat ini sebagai ‘Aamul Huzni’ iaitu tahun kesedihan yang luar biasa kesannya. Abu Tolib adalah tulang belakang dalam masyarakat, manakala Khadijah tulang belakang dalam rumahtangga baginda. Kedua-duanya telah wafat dalam waktu terdekat.

Waktu itu adalah tahun kesepuluh kerasulan Nabi saw. Keadaan di Mekah bertambah sulit bagi Nabi. Baginda bersama Zaid bin Haritsah telah pergi ke Taif dengan harapan mendapatkan bantuan.

Kota Taif yang terkenal bersih, udaranya segar dan buminya subur tetapi telah menyambut kedatangan Nabi dengan kekasaran dan penuh ejekan.

Malang sungguh bagi Nabi kerana menghadapi tentangan sedemikian rupa sehingga Nabi telah mengucapkan doa kepada Allah swt :

”Ya Allah, kepada Kau aku mengadukan kelemahan tenagaku dan sedikit keupayaanku dan manusia memandang mudah seruanku. Ya Allah, tuhan Maha Pemurah, Engkaulah Tuhan orang yang tertindas, Kaulah Tuhanku, kepada siapakah Kau serahkan aku ini? Kepada orang yang jauh yang akan menghancurkan aku, ataukah kepada musuh yang akan menguasai tugasku. Sekiranya tiada kemurkaan Mu padaku, maka aku tidak peduli (semua itu), tetapi keampunan Engkau Maha Luas.

”Aku berlindung dengan Nur Mu yang menerangi gelap dan menjadikan baiknya soal dunia dan akgirat dari akan datangnya kemurkaan atau turunnya kemarahan Mu. Kaulah yang mempunyai keredaan sehingga Kau redai aku, La haula wala quwwata illa bik,”

Doa yang mengharukan hati ini yang menumpahkan segala rasa keimanan di atas segala perlakukan manusia kepada Nabis. Keredaan Allah jualah yang diharapkan walaupun baru sedikit yang dicapai sebagai Rasul Allah.

Walaupun di Taif baginda tidak sedikit mendapat hasil apa-apa, tetapi satu peristiwa telah sedikit sebanyak menghiburkan hati beliau iaitu perlakuan Addas yang tidak diduganya. Dia disuruh oleh tuannya memberikan sedikit anggur kepada Nabi yang sedang dalam kehausan.

”Bismillah,” kata Nabi bila mahu makan.

”Perkataan ini tidak seorangpun penduduk negeri ini menyebutnya,” kata Addas dengan rasa takjub.

”Dari mana asal negerimu dan apa agamamu?,” tanya Nabi.

”Saya beragama Nasrani dan berasal dari Ninawa,”

”Berasal dari negeri orang soleh Yunus bin Mataa?” tanya Nabi.

”Bagaimana engkau tahu Yunus bin Mataa?” tanya Addas pula.

”Yunus itu saudaraku, dia Nabi dan aku juga Nabi,” Jawab rasul lagi.

Mendengar itu Addas terus merangkul kepala Nabi serta menciumnya, juga mencium tangan dan kaki baginda.

Tuannya yang melihat dari jauh menjadi amat marah setelah melihatkan perlakuan Addas. Waktu dia balik, tuannya terus menempelak.

”Kau akan menerima akibatnya. Kenapa engkau cium kepada, tangan dan kaki orang itu?” tanya tuannya.

”Tuanku, diatas dunia ini tiada orang yang lebih mulia dari baginda itu. Diceritakan kepadaku hal yang hanya Nabi sahaja yang dapat mengetahui,” jawab Addas.

Peristiwa ini telah dapat mengendurkan ketegangan jiwa Nabi. Di Taif baginda mendapat perlakuan keji dan apabila kembali ke Mekah sudah pasti baginda akan menghadapi keadaan lebih kritis.

Kesulitan pertamanya ialah siapa yang akan memberikan jaminan bagi baginda. Beberapa orang telah menolak dengan keras kecuali Muth’im bin Adi, walaupun dia menerima ancaman Abu Jahal namun tidak dipeduli. Dengan jaminannyalah Nabi dapat kembali masuk ke Mekah.

Keadaan terus bertambah tegang. Beberapa sahabat Nabi telah hijrah ke Habsyah. Tindakan quraisy menjadi lebih ganas dan buruk sehingga Nabi turut membalas kata-kata ancaman dengan setimpal.

Suatu ketika baginda masuk ke Masjidil haram dan baginda melihat segolongan Musyrik sedang berkumpul dekat kaabah.

”Inikah Nabi engkau, wahai Bani Abdul Manaf?” tanya Abu Jahal kepada Atabah bin Rabiah dengan tujuan menyakiti hati Nabi. Atabah mendiamkan diri saja dan Nabi melihat dan mendengar pertanyaan itu lalu menghampiri mereka dan berkata-kata sebagai gambaran masa depan :

”EngkauAtabag, engkau bukan membela kerana Allah dan RasulNya tetapi kedudukan peribadi kamu,”

”Engkau Abu Jahal, demi Allah dalam waktu terdekat ini akan sampai masanya kau pula mengalami sedikit ketawa dan akan banyak menangis,”

”Wahai pemuka-pemuka quraisy, demi Allah, kamu akan menghadapi suatu masa iaitu kamu akan masuk pada apa yang kamu anggap mungkar, sedangkan kamu benci padanya,”

Demikianlah kata-kata Nabi kepada mereka yang ditemuinya berhampiran kaabah.

Kata-kata itu merupakan kemuncak keadaan diantara baginda dan musuh Islam. Gambaran masa depan itu ialah bagi menunjukkan kepada mereka pada masa Islam mencapai kejayaannya, quraisy akan masuk Islam walaupun dalam keadaan yang tidak sepenuh hati pada mulanya.

Dalam suasana yang mencemaskan dan baginda menghadapi ketegangan dalam dakwahnya, baginda kemudian dibawa oleh Malaikat Jibrail as untuk Israk mIkraj atas perintah Allah Yang Maha Suci, khususnya untuk memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kebesaran Allah.

Advertisements
Kategori:Uncategorized Tag:
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: