Utama > Uncategorized > IHYA’ : Rahsia-rahsia Thaharah

IHYA’ : Rahsia-rahsia Thaharah


FIRMAN Allah swt yang bermaksud :

”Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tapi ia berkehendakkan (menyucikan) kamu,” (Maidah :6)

Firman Allah bermaksud :

”Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” – Taubah : 108

Sabda Nabi saw yang bermaksud :

”Daripada Ali bin Abi Tolib ra, Sabda Nabi saw, kunci solat ialah bersuci,” – riwayat Abu Daud dan Tarmizi

Ada pula keterangan yang berbunyi :

”Agama itu dibina di atas kesucian” (keterangan ini tiada asalnya daripada hadis.

Orang yang suka berfikir pasti mengetahui bahawa dengan adanya perintah bersuci secara zahir, sebenarnya yang lebih penting dan diutamakan ialah bersuci secara batin.

Maka itu, tepatlah sabda Nabi yang bermaksud :

”Bersuci itu adalah separuh daripada iman,” riwayat oleh Tirmizi dan Muslim

Perbuatan itu semata-mata untuk menyucikan bahagian luaran sahaja yakni dengan menyiram air ke atas badan dan membersihkan anggota badan yang zahir sahaja. Sedangkan anggota batin tetap rosak dan dibiarkan penuh dengan kekotoran yang bersarang di hati serta daki-daki. Jauh sekali kalau apa-apa yang dimaksudkan itu seperti demikian.

Thaharah atau bersuci itu mempunyai empat peringkat iaitu :

1) Membersihkan anggota zahir daripada hadas, najis-najis atau kotoran serta benda-benda lebihan yang tidak diperlukan.
2) Membersihkan anggota badan daripada perbuatan dosa.
3) Membersihkan hati daripada akhlak yang tercela dan sifat terkutuk
4) Membersihkan batin daripada sesuatu selain Allah dan ini adalah cara Nabi menyucikan diri dan juga para siddiqin.

Seseorang hamba itu tidak mungkin akan mencapai peringkat yang tertinggi melainkan terlebih dahulu melalui peringkat yang ada di bawahnya. Jadi, kesucian batin tidak akan dapat dicapai, jika seseorang itu tidak terhindar daripada sifat tercela atau dipenuhi dengan sifat terpuji. Selagi belum menyucikan batinnya terlebih dahulu dengan menjauhi akhlak yang tercela dan melaksanakan akhlak yang terpuji selagi itu dia tidak akan berjaya mencapai peringkat yang tertinggi.

Untuk mencapai semua itu, terlebih dahulu mestilah menyucikan anggota badan daripada melakukan segala larangan dan patuhi perintah Allah. Oleh sebab itu, segala sesuatu yang dituntut, apabila perkara itu adalah yang mulia dan utama, pastilah akan menempuhi jalan yang sukar dan banyak rintangan atau risiko yang akan dihadapi. Oleh itu, janganlah disangka bahawa perkara di atas itu dapat diperolehi dengan hanya berangan-angan atau dapat dicapai dengan cara atau jalan yang mudah.

Itulah kenyataannya, kerana seseorang yang buta penglihatannya mengenai perbezaan ini, tentu tidak dapat memahami peringkat kesucian tadi, melainkan hanya mengetahui dan memahami peringkat terendah sahaja. Sebenarnya peringkat yang terendah itu bolehlah dikatakan sebagai kulit yang dapat melihat secara zahir apabila dibandingkan dengan isi atau inti yang dicari-cari itu.

Oleh sebab itu, ramai orang yang hanya tertipu dengan kulit, yang hanya menjadi perhatian utama, mereka juga menggunakan waktu yang banyak hanya untuk meneliti kebersihan beristinjak (menyucikan diri dari hadas kecil dan besar), mencuci pakaian, dan membersihkan bahagian yang nampak di luar saja. Mereka juga mencari air yang mengalir dan menggunakan air yang banyak banyak, dengan sangkaan bahawa itulah yang penting bahkan disertai dengan sifat was was dan merosakkan akal.

Mereka menganggap bahawa cara bersuci yang dituntut dan yang mulia adalah sedemikian. Anggapan ini terjadi kerana kejahilan mereka terhadap sejarah orang salaf yang terdahulu dan bagaimana para ahli salaf mengutamakan kebersihan jiwa. Mereka bersungguh dalam melaksanakannya berbanding dengan kebersihan zahir.

Tentang urusan zahir pula mereka (orang-orang salaf) mempermudahkannya dan tidak memberatkan cara bersuci. Contohnya, Saidina Umar ra yang terkenal dengan ketinggian martabatnya dalam kalangan umat Islam, pernah berwuduk menggunakan air daripada bekas milik orang Nasrani. Orang-orang salaf yang terdahulu bersolat di atas tanah di dalam masjid dan beristinjak dengan menggunakan batu sahaja.

Sesungguhnya seluruh perhatian mereka itu lebih diutamakan kepada kebersihan batin. Tiada satu keteranganpun yang dapat diambil daripada mereka tentang persoalan atau pertanyaan berkaitan dengan najis yang pelik-pelik atau yang terlalu teliti.

Kemudian itu, datanglah golongan yang menamakan sesuatu yang bukan-bukan sebagai dasar kebersihan, sehingga kebanyakan waktu mereka digunakan semata-mata untuk menghiasi anggota zahir sahaja. Umpama seperti wanita yang menyolek dan menghias pengantin, sedangkan batin mereka hancur dan rosak, dipenuhi dengan kotoran dan daki kesombongan. ‘ujub (perasaan kagum terhadap diri sendiri), bodoh, riak (menunjuk-nunjuk kebaikan dirinya:, munafiq dan lain-lain lagi.

Semua perkara dan sifat mulia tidak mereka endahkan atau mereka jauhkan dari hati, bahkan mereka tidak berusaha untuk merawatnya serta mencegahnya. Andaikata ada orang yang meringkaskan istinjak dengan batu atau bersolat di atas tanah tanpa menggunakan sejadah ataupun berwuduk daripada menggunakan bekas yang dimiliki oleh orang kafir, maka orang-orang bodoh akan segera menyalahkan tindakannya, mengingkarinya dan menggelarkan orang itu sebagai orang yang pengotor.

Cubalah perhatikan, jika terjadi perkara yang sedemikian itu, bukanlah sesuatu yang mungkar itu telah dianggap sebagai kebaikan dan yang baik itu pula dianggap sebagai satu kemungkaran.

Jika begitu tindakannya, maka bagaimanakah seseorang itu dapat mengikut ajaran agamanya sesuai dengan apa-apa yang disyarakkan secara hakikat dan ilmiah?

Setelah kita mengetahui mukadimah yang ringkas ini, maka kita membincangkan pula peringkat bersuci. Terlebih dahulu kita ambil peringkat keempat yakni kebersihan zahir. Bersuci secara zahir terbahagi kepada tiga iaitu :

A) Kebersihan daripada kotoran (najis)
B) Kebersihan daripada hadas
C) Kebersihan daripada lebihan anggota badan

Kebersihan zahir ialah dengan cara memotong kuku, mandi, menggunakan kapur untuk mencabut bulu ketiak, berkhatan dan lain-lain.

Bersambung.

Sumber : Kitab Ihya Ulumuddin

Advertisements
Kategori:Uncategorized Tag:
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: