Utama > Uncategorized > Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban

Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban


PERSOALAN mengenai adakah malam nisfu Syaaban mempunyai kelebihan tertentu dan adakah terdapat larangan untuk menghidupkan malam tersebut merupakan perkara khilaf di kalangan para ulama’.

Namun begitu khilaf yang berlaku bukanlah untuk menimbulkan kepada perpecahan umat Islam.

Mengenai persoalan di atas, MANHAL PMRAM membawa fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir yang menyatakan harus menghidupkan malam Nisfu Syaaban kerana malam tersebut mempunyai kelebihan yang istimewa. Hujah-hujah yang diberikan dalam fatwa beliau ialah :

1- Terdapat hadis Nabi SAW yang menerangkan berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban, antaranya ialah hadis yang Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Apabila tiba malam nisfu Syaaban maka hidupkanlah malam tersebut dan berpuasalah di siangnya, maka sesungguhnya (hari tersebut) Allah SWT turun (membuka seluas-luas pintu rahmat) ke langit dunia apabila tenggelam matahari (malam nisfu Syaaban) sehingga terbit fajar (keesokkan) seraya berkata :

Ketahuilah sesiapa yang meminta ampun kepada-Ku maka Aku akan memberikan keampunan baginya, sesiapa yang memohon rezeki kepada-Ku nescaya Aku akan memberikannya rezeki dan sesiapa yang memohon kesihatan (kesembuhan) kepada-Ku akan aku berikannya kesembuhan”[1]

Walau hadis di atas merupakan dalam kategori hadis yang lemah namun terdapat banyak hadis yang lain yang menguatkannya berkenaan dengan kelebihan malam nisfu Syaaban. Hal ini sebagaimana yang diceritakan oleh Syeikh Al-Mubarakfuri dalam kitab Tuhfatul Ahwazi (jilid ke-3, m/s 442, cetakan Dar Al-Fikr),
dan beliau berkata bahawa kesemua hadis-hadis tersebut (berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban) merupakan hujah bagi menjawab dakwaan pihak yang menafikan kelebihan malam nisfu Syaaban.

2- Pensyariatan menghidupkan (hukumnya harus) malam nisfu Syaaban adalah berdasarkan kepada amalan para salafus soleh bahkan ia merupakan pendapat majoriti ulama’ dan ia dilakukan di Negara-negara Islam. Antaranya ialah pendapat Imam As-Syafie yang dinyatakan dalam kitab Al-Um (jilid pertama, m/s 264, cetakan Dar Al-Fikr) iaitu : terdapat 5 malam yang dimakbulkan doa iaitu malam Jumaat, malam Eidul Adha, malam Eidul Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.

3- Berkata Imam Al-Fakihi (wafat pada tahun 272 H) di dalam kitabnya yang berjudul “ Akhbar Makkah Fi Qadimi Ad-Dahr Wa Hadisihi” (jilid ke-3, m/s 84, cetakan Dar Al-Hadhr) : antara amalan dan ijtihad penduduk Mekah pada malam nisfu Syaaban disebabkan kelebihan yang terdapat pada malam tersebut ialah
mereka samada lelaki dan wanita akan keluar menuju ke masjid, mereka akan solat, melakukan tawaf dan menghidupkan malam tersebut dengan membaca Al-Quran sehingga khatam di dalam Masjid Al-Haram sehinggalah waktu Subuh dan mereka juga melakukan ibadah solat.

4- Berkata Syeikh Zainuddin bin Nujaim Al-Hanafi ulama’ besar Hanafi) dalam kitab yang berjudul “Al-Bahr Ar-Raiq” (jilid ke-2, m/s 56 cetakan Dar Al-Makrifat) : antara perbuatan sunat ialah dengan menghidupkan 10 malam bulan Ramadhan, dua malam
raya, malam kesepuluh Zul-Hijjah dan malam nisfu Syaaban, sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis mengenainya (kelebihan menghidupkan malam-malam tersebut).

5- Syeikh Ibnu Taimiyah Al-Hanbali sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Al-Fatawa Al-Kubra (jilid ke-5, m/s 344, cetakan Dar Al-Kutub Al-Ilmiah) : Adapaun pada malam nisfu Syaaban tersebut mempunyai kelebihan, dan para salafus soleh
melakukan ibadah solat pada malam tersebut (dengan erti kata menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan melakukan ibadah).

6- Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali menyatakan di dalam kitabnya yang berjudul “Latoif Al-Ma’arif Fima Al-Mawasim Al-‘Am Min Al-Wazoif” (m/s 263, cetakan Dar Ibnu Kathir) : Ulama Syam berbeza pendapat dalam menyatakan sifat atau bentuk menghidupkan malam (yang mempunyai kelebihan seperti malam nisfu
Syaaban) kepada 2 pandangan :

1) Harus menghidupkan malam-malam (yang tertentu
yang mempunyai kelebihan) secara berjemaah iaitu
beramai-ramai di masjid. Dan ia bukan termasuk
dalam perkara bid’ah (iaitu bid’ah yang terlarang).

2) Makruh menghidupkan malam-malam (yang
tertentu yang mempunyai kelebihan) secara beramai-
ramai di masjid seperti solat dan zikir, namun
harus iaitu tidak makruh jika melakukan secara
individu. Ini merupakan pendapat Imam l-Auza’i.

Maka berdasarkan kepada perselisihan pendapat di atas, dapat dilihat bahawa ulama’ sepakat bahawa disyariatkan iaitu harus serta sunat menghidupkan malam-malam (yang tertentu yang mempunyai kelebihan), namun mereka hanya berbeza mengenai
cara menghidupkannya samada secara jemaah atau
sendiri, dan perbezaan yang berlaku tersebut hanya
melibatkan hukum makruh, tidak sampai ke tahap yang
haram. Namun yang lebih tepat ialah harus dan tidak makruh kerana suruhan berbentuk galakan menghidupkan malam-malam tersebut merupakan suruhan yang berbentuk mutlak iaitu tidak diperincikan cara bagaimana ia termasuk dalam apa jua jenis ibadah yang disyariatkan. Justeru apabila ia dilakukan
secara individu mahupun berjemaah maka ia adalah satu perbuatan yang baik dan elok.

Sehubungan itu, berkenaan dengan fadhilat malam nisfu Syaaban serta menghidupkannya dengan ibadah-ibadah merupakan khilaf ulama’. Justeru MANHAL PMRAM membawakan terjemahan daripada fatwa Syeikh Ali Jumaah yang menyatakan terdapat pandangan ulama’ yang menyatakan hukumnya adalah harus. Maka bagi sesiapa yang ingin menghidupkan malam nisfu

Syaaban terdapat hujah-hujah yang mengharuskan. Manakala bagi pihak yang tidak mahu menghidupkan malam-malam tersebut termasuk malam nisfu Syaaban maka ia terpulang kerana hukum adalah harus, bukan wajib. Bagi mereka yang melakukan dapat pahala sunat, dan yang tidak mahu melakukan tidak berdosa.

Ia merupakan khilaf pada perkara cabang. Selaku umat Islam, kita perlu memahami adab berkhilaf dan tidak menjadikan khilaf yang berlaku sebagai perpecahan. Jagalah kesatuan umat Islam, dan beramallah dengan keyakinan berdasarkan hujah-hujah
yang jelas, bukan hanya taklid tanpa pengetahuan.

Wallahu a’lam

Terjemahan dan olahan oleh :

Muhamad Zuhaili bin Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Sumber : Blog manhal.pmram.org

Advertisements
Kategori:Uncategorized Tag:
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: