Utama > Uncategorized > Menteri Pendidikan bunuh masa depan rakyat?

Menteri Pendidikan bunuh masa depan rakyat?


“MENONTON Buletin Awani 10 Mac yang lalu, saya dikejutkan dengan kenyataan berita yang bertajuk ‘Kemungkinan besar bahasa Inggeris menjadi subjek wajib lulus di sekolah’. Rupanya masih tidak reda isu perjuangan bahasa yang pernah memuncak di tahun 2009 dulu,” kata Amni Jagat, Sasterawan muda Pakatan Rakyat.

Tidak ada rasionalnya katanya lagi, jika bahasa Inggeris dijadikan subjek atau mata pelajaran wajib lulus di sekolah.

Perkara ini ujarnya, harus dikaji semula sebelum tindakan membuat keputusan yang melulu tanpa berfikir panjang mengenai masa depan pelajar atau murid di sekolah.

“Belum lagi selesai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), timbul pula satu lagi agenda yang ingin merosakkan rumpun kewarganegaraan di Malaysia. Ini suatu perkara yang tidak masuk akal.

“Kerajaan tidak sepatutnya mengutamakan bahasa Inggeris sebagai perkara yang wajib untuk penduduk di Malaysia. Sepatutnya kerajaan harus bertindak tegas dalam melaksanakan undang-undang untuk mencegah kehilangan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) dalam sektor swasta mahupun sektor awam, ini yang paling penting.

“Lebih 90 peratus penduduk di Malaysia hari ini terdiri dari golongan yang bukan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka, jadi apa relevannya bahasa itu dijadikan bahasa wajib di Malaysia. Sepatutnya kita kena belajar dengan negara-negara maju seperti Perancis, Jepun, Russia dan Jerman.

“Negara-negara ini tidak sama sekali menjadikan bahasa luar sebagai bahasa wajib mereka. Malah jika kita ke negara mereka dan bertutur dalam bahasa luar selain bahasa rasmi mereka, pasti mereka akan menyisihkan kita kerana mereka menganggap kita tidak menghormati dasar negara mereka.

“Sebagai warganegara Malaysia kita harus berfikir untuk menyelamatkan masa depan pelajar bukan berfikir untuk memenangkan sesuatu pihak yang sedikit atas kepentingan pihak yang kecil tersebut. Perkara yang perlu ditegaskan di sini bukanlah menerima bahasa luar sebagai bahasa wajib lulus tetapi yang harus dilakukan adalah persoalan memperkasakan bahasa kebangsaan selepas tamat persekolahan.

“Kalau dilihat di sektor-sektor awam ataupun sektor swasta, sifat membudayakan bahasa Melayu dilihat pudar. Mengambil contoh sebuah univesiti awam di Malaysia yang pelajarnya hampir keseluruhan orang Melayu atau bumiputera. Universiti tersebut mengamalkan sistem pembentangan kerja kursus dalam bahasa Inggeris bukan dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu. Sedangkan seluruh pelajarnya terdiri daripada orang Melayu.

“Ini perkara yang berlaku dalam sistem pendidikan di bawah kementerian yang bermaksud ia adalah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bukan swasta (IPTS). Sepatutnya ia haruslah memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang wajib. Ini yang dinamakan memartabatkan bahasa itu sendiri.

“Disebabkan kelonggaran dalam sistem memartabatkan bahasa Melayu, alasan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus cuba dijalankan. Kekurangan kerja yang menggunakan bahasa Melayu, kekurangan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan kekurangan bidang pelajaran yang mengutamakan bahasa Melayu semuanya dijadikan alasan,” katanya dalam satu kenyataan yang di hantar kepada ibn bacoks.

Amni berkata lagi, kerajaan tidak patut mengalah dengan keadaan sekiranya sektor pekerjaan tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Sebagai kerajaan yang prihatin katanya lagi, kerajaan seharusnya bertindak untuk mengariskan kepada seluruh sektor pekerjaan awam mahupun swasta yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan untuk mengutamakan bahasa tersebut.

“Andai ada syarikat swasta dari luar negara yang ingin membuka perniagaannya di Malaysia dan sekaligus membuka ruang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, gariskan kepada mereka mengenai dasar negara yakni mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara atau rasmi.

“Dari sudut bahan ilmiah yang tidak ada dalam bahasa Melayu. Di sini institusi perterjemahan harus memainkan peranan penting untuk menterjemahkan seluruh bahan ilmiah dari luar ke dalam bahasa Melayu.

“Mengambil contoh keadaan di zaman gelap eropah dulu, institusi penterjemahan memainkan peranan yang penting untuk menterjemahkan seluruh bahan ilmiah dari  kerajaan Islam Andalusia atau Kordova ke dalam bahasa yang boleh dibaca penduduk eropah sehinggakan eropah bangkit dari zaman gelap tersebut menjadi negara yang maju hari ini,” katanya lagi.

Dalam peringkat pengajian pula, Amni berkata, kerajaan harus mengambil tindakan untuk menyemak semula seluruh IPTA atau IPTS agar mengariskan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh.

Perkara-perkara ini yang sepatutnya dijalankan terlebih dahulu bukanlah membunuh masa depan pelajar atau murid dengan memaksa mereka belajar dalam bahasa yang bukan dikuasai mereka. 

Sebelum ini pun tidak ada dasar wajib lulus mata pelajaran bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi kita dapat lihat ada di antara warganegara Malaysia yang boleh berdaya saing di peringkat global. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa pertama dunia (Lingua Franca) pada kurun ke 15 dan kurun ke 17.

“Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu bukan bahasa yang lekeh atau kecil. Kehebatan bahasa Melayu pada waktu itu adalah disebabkan penguasaan bahasa yang tinggi bagi pemilik bahasa tersebut bukan disebabkan kerana terpaksa.

“Fikirkan bagaimana pula nasib kaum pribumi seperti orang asal, Iban, Kadazan, Murut dan orang pendalaman yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian mereka. Jika perkara menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus ini dilaksanakan maka mereka yang tinggal di pendalaman dan pribumi ini pasti akan lagi jauh ketinggalan.

“Tidak lulus bahasa Inggeris akan menyebabkan mereka yang gagal itu tidak mendapat sijil SPM. Bila tidak ada sijil SPM fikirkan bagaimana mereka hendak mencari kerja sedangkan bahasa Melayu mereka lulus kerana bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi harian penduduk di Malaysia jadi tidak timbul permasalahan dalam pemahaman bahasa tersebut.

“Bila mereka tidak berkerja bagaimana pula mereka menyara kehidupan mereka sehari-harian. Inilah kesan yang akan berlaku dalam kehidupan masyarakat di Malaysia. Kerana nila setitik rosak susu sebelangga.

“Kepada Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), harap dapat berfikir secara terbuka. Kenyataan PAGE dengan bersuara menentang pemansuhan PPSMI sekali lagi mengundang kenyataan yang berbaur kejam dan zalim.

“Perkara yang paling penting adalah penguasaan sesuatu bahasa itu bukan keterpaksaan untuk belajar sesuatu bahasa.

“Penguasaan sesuatu bahasa itulah yang boleh membuatkan seseorang individu itu berdaya saing kerana kreativiti azali itu berpunca dari penguasaan sesuatu ilmu bukan dengan cara paksaan.

“Begitulah hipotesis psikolinguistik yang dilakukan oleh Edward Sapir dan Bejamin Lee Whorf (ahli bahasa antropologi Amerika tahun 1930/40-an) mengenai pemikiran manusia yang akan berfikir mengikut bahasa asalnya.

“Tindakan Menteri Pendidikan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus ini bolehlah dianggapkan seperti membunuh masa depan pelajar rakyat Malaysia. Jagalah amanah ini seperti menatang minyak yang penuh. Janganlah menjadi pemimpin seperti yang dimaksudkan kata pepatah ‘beruk mendapat bunga,” katanya lagi.

Advertisements
Kategori:Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: