Arkib

Archive for November 2011

PAS Bergerak Seiring Dengan Politik Moden

November 30, 2011 Tinggalkan komen

AYER HITAM – Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menjelaskan bahawa dalam amalan Politik moden hari ini PAS mengikuti perkembangannya kerana Islam boleh menghadapi cabaran sepanjang zaman.

Oleh yang demikian, PAS katanya telah mengambil keputusan untuk menyertai pilihan raya bagi tujuan memartabatkan Islam.

Bagaimanapun, Tuan guru kesal dengan tanggapan serong sesetengah pihak tentang penglibatan parti itu dalam pilihan raya kerana umum masih belum mengetahuinya secara mendalam.

Jelas beliau lagi, apabila Eropah mengalami perubahan dari Greek kepada moden, maka para Orientalis mengkaji Islam dengan membawakan kitab-kitab daripada ulamak-ulamak Islam bagi diterjemahkan kepada bahasa eropah.

Beliau mendakwa, masyarakat Eropah tidak mengetahui secara jelas demokrasi cara mereka sehingga berlakunya revolusi menyebabkan ramai pemimpinnya digulingkan akibat rasa tidak puas hati.

Setelah kajian dibuat, kata Presiden lagi maka Barat telah menjumpai dan kenal demokrasi cara Islam melalui sistem ‘syura’ yang diamalkan Nabi Muhammad saw sehingga ke zaman pemerintahan Khalifah yang lalu.

Namun katanya, kesilapan pengamalan demokrasi Barat adalah dalam soal dosa dan pahala iaitu matlamat menghalalkan cara.

Sehubungan itu, beliau menyelar pengamal demokrasi moden terutama para pemimpin politik negara ini yang tidak mengambil perhitungan akhirat yang disifatkannya melakukan kesalahan politik menyamai dengan kesalahan ibadah yang lain.

”Politik yang tak ada perhitungan dosa dan pahala, boleh buat apa sahaja. (contohnya) Lepas tunai haji boleh minum arak,” ujarnya lagi.

Sebaliknya PAS mementingkan soal itu termasuklah cara berpolitik. Hal ini kerana parti itu ingin mengembalikannya seperti yang diajar oleh Baginda saw.

”Kita pilih pilihan raya asalnya demokrasi pemilihan daripada Islam. (memang) amalan pilihan raya dari Barat.

”Bukan semua ditolak. Seperti ibadah guna microfon untuk laungkan azan di masjid,” terangnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup pada majlis Karnival Sambutan PAS Ke-60 di Dewan Marwan al-Hakam, Dataran Hj. Mardi, dekat sini, ahad lepas.

Hadir sama, Tn. Hj. Mohammad Sabu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Dr. Hj. Mahfodz Mohammed, Pesuruh jaya PAS Johor, Sdr. Mazlan Aliman, AJK PAS Pusat.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa PAS tidak berubah dari sudut dasar perjuangannya walapun menang atau kalah dalam pilihan raya disamping pernah menyertai kerajaan campuran dengan Barisan Nasional, Semangat 46 termasuklah yang terbaru bersama Pakatan Rakyat.

Sebaliknya PAS dilihat mempunyai sistem pemantauannya tersendiri dengan dikawal selia melalui Majlis Syura Ulamaknya iaitu mengkaji, berbincang, berbahas dan membuat keputusan termasuklah dalam soal kerjasama politik dengan bukan Islam.

”Kita berjaya tubuhkan kerajaan bersih dan berakhlak. Tahun 1978 jatuh di Kelantan. Tahun 1961 jatuh di Terengganu bukan kerana kita amalkan kezaliman dan rasuah. Akan tetapi kerana (musuh) amalkan penipuan pilihan raya dengan cara yang tak bermoral.

”Zaman mutakhir ini, kita berjaya memecahkan tembok pemisah dengan buka Islam. Kita buka pintu (buka keahlian), ramai yang sertai DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS).

”Orang tak faham politik Islam. Inilah politik,” terang beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kategori:Uncategorized Tag:

Majlis Penutupan KARNIVAL Dihiasi Dengan Pelbagai Pelancaran

November 28, 2011 Tinggalkan komen

image

AYER HITAM – Kemuncak Majlis Karnival Sambutan PAS Ke-60 peringkat negeri Johor telah menyaksikan pelbagai pelancaran sebelum penyempuraan perasmian penutupnya itu dilakukan sendiri oleh Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), dekat sini, ahad lepas.

Antara pelancaran yang menghiasi Dewan Marwan Al-Hakam, Dataran Hj. Mardi itu seperti perasmian Jentera Pilihan raya Umum (PRU) Ke-13, Penyampaian Tokoh PAS negeri Johor dan Pelancaran Skuad Prihatin peringkat negeri Johor.

Adapun slot penyampaian Tokoh PAS pula, telah dibarisi daripada individu yang bekerja seikhlas hati bagi memartabatkan Islam di bumi Johor.

Antaranya Tn. Hj. Hassan Hussin, mantan Pesuruh Jaya, Allahyarham Ust. Omar Jani, Allahyarham Ismail Ibrahim, Tn. Hj. Sattar Kahar, Allahyarham Daing Turus Daing Malbek, Tn. Hj. Taib Hj. Kassim, Pn. Hjh. Sapiah Sapeh, mantan Ketua Dewan Muslimat negeri Johor dan Dr. Sanusi Daing Mariok, mantan Pesuruh Jaya.

Pada majlis yang sama juga, montaj Skuad Prihatin telah dipertontonkan dengan bermatlamatkan menyemarakkan gerak kerja kebajikan yang lebih tersusun dan berkualiti.

Skuad dibawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Badan Perhubungan PAS Negeri Johor itu, selain berfungsi menghubungkan PAS dengan masyarakat, ia turut berperanan mengambil berat masalah kesihatan dan kematian rakyat Johor.

(Tn. Hj. Satar Taha, Mantan Timbalan Pesuruh jaya/AJK PAS Pusat menerima cenderahati daripada Dato` Presiden)

Menurut Pengerusinya, Hj. Dzulkefly Ahmad, pihaknya cuba memperkenalkan skuad ini menerusi mottonya ‘We Care’ dengan harapan isu-isu kebajikan dan kemasyarakatan dapat ditangani dengan segera.

(Tok Guru memotong riben pelancaran Skuad Prihatin)

Justeru katanya lagi, beberapa unit telah ditubuhkan supaya penumpuan kepada beberapa komponen lebih terarah dan tersusun.

”Skuad ini akan digerakkan ke seluruh PAS kawasan DI johor ini dengan 3 Skuad iaitu Skuad Kesihatan, Skuad Bencana dan Skuad Sosial,” ujarnya lagi.

Sepanjang hari ketiga berlangsungnya Karnival ini pelbagai acara telah diadakan antaranya Rawatan Perubatan Percuma, Motor Show dan Auto Show.

Sementara itu, malam kemuncak program turut dihiasi dengan ucapan-ucapan pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuklah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tn. Hj. Mohammad Sabu, Timbalan Presiden PAS, Dr. Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP Johor, Dato’ Dr. Hj. Mahfodz Mohammed, Pesuruh jaya PAS Johor.

(Dari kiri, Dr. Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP Johor, Dato` Dr. Mahfodz Mohammed, Pesuruh jaya PAS Johor, Dato` Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR, Tn. Hj. Aminulhuda, Timbalan Pesuruh jaya PAS Johor)

Difahamkan, dewan terbuka yang baru dibina bagi membolehkan majlis karnival ini berlangsung adalah diusahakan oleh Tn. Hj. Mardi Marwan yang dahulu antara pemimpin UMNO yang dihormati.

(Tn. Hj. Mardi Marwan, Naib Yang Dipertua PAS Ayer Hitam, pemilik bangunan   Marwan al-Hakam)

Dalam pada itu, beliau yang pernah dilantik sebagai Ketua cawangan UMNO, amat gembira selain bangunannya telah dipilih oleh pimpinan negeri untuk dilakukan program parti malah pengisian program seperti munajat, solat hajat, solat berjemaah, taujihat pimpinan, forum dan ceramah turut diadakan.

(Tuan Guru Presiden menandatangan plak Dewan Marwan al-Hakam)

Katanya lagi, pengisian program sebegitu, jauh lebih baik dan bermanfaat berbanding sewaktu beliau berada di dalam UMNO.

”Itu kemanisan (berjuang) dalam diri. Saya pernah pergi mesyuarat agung UMNO, tidur dekat hotel. Dalam PAS saya tidur dekat surau.

”Rezeki Allah yang bagi, bukan UMNO bagi. UMNO kalau dapatpun, (tapi) rezeki yang bukan-bukan. Saya tahulah. (sebab) lama dalam UMNO.

”Kalau duduk dalam UMNO tu, cepat-cepatlah (keluar). PAS ganti UMNO,” ujarnya yang juga mantan AJK Bahagian Sri Gading.

Tinjauan turut mendapati, sejak jam 8.00 malam lagi orang ramai mula berpusu-pusu memenuhi perkarangan Dataran Hj. Mardi menyebabkan pihak  keselamatan terpaksa menutup ruang parkir di bahu jalan sekitar tapak program bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada jalan Ayer Hitam-Kluang.

Sejurus majlis bermula, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang berkesempatan mengunjungi gerai-gerai pameran dan merasmikan gerai Madrasah Al-Masriyyah, Simpang Renggam yang baru sahaja  menyambut perayaan Jubli Peraknya yang ke 25 tahun sambil diringi paluan kompang.

(Tok Guru merasmikan Sambutan Jubli Perak ke 25, Madrasah al-Masriyyah, Simpang Renggam Johor)

 

Disamping itu, Presiden PAS turut diberi penghormatan melancarkan montaj Sambutan 60 Tahun Peringkat Negeri Johor sebelum memberikan ucapannya.

 

(Montaj Karnival Sambutan PAS ke 60 dipertontonkan kepada umum selepas pelancarannya oleh Tuan Guru Presiden)

Kaum Cina dan India bersama dengan kira-kira lebih 6000 orang antara pengunjung yang hadir menyaksikan malam kemuncak Karnival Sambutan PAS Ke-60 yang berakhir jam 12 00 malam.

(Kaum Cina tidak ketinggalan turut serta dalam program)

Kategori:Uncategorized Tag:

MCA Abai Penggunaan Bahasa Kebangsaan?

November 28, 2011 Tinggalkan komen

BATU PAHAT – Para pemimpin MCA diselar kerana mengabaikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada program anjuran parti itu sebaliknya parti itu didakwa telah menggunakan bahasa Mandarin, demikian dinyatakan YB Dr. Boo Cheng Hau, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Johor.

Menurut YB Dr Boo dengan katanya DAP kesal kerana dituduh sebuah parti perkauman sedangkan setiap program  anjuran parti itu menggunakan bahasa Melayu.

Perkara ini katanya adalah satu dakyah yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu bagi menjauhkan DAP dengan masyarakat Melayu.

Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengatakan bahawa parti itu bersikap keras terhadap Islam sedangkan bagaimana PAS boleh menjadi rakan dan sekutu dalam Pakatan Rakyat.

”DAP tak pernah menjauhi Islam. Kita (DAP) tak takut nilai-nilai (ajaran) Islam sebab itu kita bekerjasama dengan PAS,” tegas beliau lagi.

Sementara itu, Dr. Boo turut menyelar sikap pemimpin UMNO walaupun memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu tapi didakwa meminggirkan kaum tersebut.

Katanya, isu pengambilan tanah di Kangkar Pulai sebagai contoh yang pada awalnya ditentang oleh pemimpin UMNO kerana memperjuangkan hak untuk tidak dibina sebuah sekolah kebangsaan jenis Tamil (SJKT).

Namun ujar beliau lagi, ia memperlihatkan bukan sekolah kebangsaan yang dibina sebaliknya sebuah stesen minyak Petronas pula berada di situ.

”Contoh tanah di Kangkar Pulai. Tanah Diperuntukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. UMNO kata, kita pertahankan bahasa Melayu, tak benar bina sekolah Tamil.

”(tapi) tanah itu bukan dibina sekolah kebangsaan tapi dibina stesen minyak Petronas.

”Kenapa tanah itu untuk SJKT tapi jadi Petronas?” soalnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramahnya Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Pahat, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, YB Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor.

Kategori:Uncategorized Tag:

UMNO Tidak Mustahil Tumbang Di JOHOR – DSAI

November 27, 2011 Tinggalkan komen

PONTIAN – Adalah suatu yang tidak mustahil bagi negeri Johor yang terkenal dengan jolokan ‘kubu kuat UMNO’ boleh ditumbangkan dalam pilihan raya umum (PRU 13), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Hal ini kerana katanya dahulu Parlimen Permatang Pauh yang turut diberi jolokan yang sama namun dalam beberapa siri pilihan raya, UMNO-Barisan Nasional tersungkur di kubu yang dibinanya selama ini.

Malahan pula ujarnya kekalahan itu telah meruntuhkan maruah parti berfahaman kebangsaaan itu ekoran pembangkang meraih kemenangan dengan majoriti yang besar.

”Johor katanya kubu kuat UMNO. Itu dulu. (Parlimen Permatang Pauh) dulu kubu kuat UMNO, 15.000 majoriti (menang). Sekarang UMNO kalah 15.000. Sebab (kalah) orang (pengundi) sudah buka minda,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya terhadap dakwaan yang mengatakan bahawa apabila Pakatan Rakyat (PR) berjaya menduduki Putrajaya maka hak dan kepentingan orang Melayu akan terpinggir.

Sebaliknya tegas beliau lagi bahawa kedudukan kaum bumiputra dalam negara ini akan terus dibela dan tetap dipertahankan.

”(saya) jamin kedudukan dan keselamatan (orang) Melayu mesti dipertahankan,” tegas beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di hadapan ribuan orang di perkarangan Rumah Ketua PKR Pontian, Parit Keroma, Ayer Baloi Pontian, dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Datuk Dr. Chua Jui Meng, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, YB Yaakob Sapari, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Sdr. Badrul Hisham Shaharin (Cikgu Bard), Pengerusi Solidariti Anak Malaysia (SAMM), Hj. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Pontian.

Sementara itu, Anwar turut mempersoalkan dimanakah kewajarannya dalam hal beliau diaibkan, difitnah dan menghadapi tuduhan yang melampau sedangkan katanya isu yang melingkari kehidupan rakyat masih berada ditahap yang menduka-citakan.

”Masukkan Anwar dalam penjara. Saya diaibkan sebegitu rupa. Ada harga barang (naik) selesai (turun) ?” soalnya lagi.

Bagaimanapun, ujar beliau lagi sambil memberi ingatan kepada para pemimpin UMNO supaya tidak terus mengekalkan keangkuhan selain mempertahankan dakwaan yang hanya mereka sahaja yang mampu berkuasa sedangkan 30 tahun Presiden Mubarak di Mesir berkuasa, boleh tumbang ditangan rakyatnya sendiri.

”Bila Mubarak digulingkan, 3 juta rakyat ikut berhimpun (Di dataran Tahrir). Ini sebab (sebelum ini) Mubarak dianggap macam raja, digelar Firaun Soghir (kecil),” ujarnya lagi.

 

Kategori:Uncategorized Tag:

‘KELAINAN’ Terserlah Pada Malam Pembukaan Karnival Sambutan PAS Ke – 60 Tahun Negeri JOHOR

November 25, 2011 Tinggalkan komen

image

AYER HITAM – Kelainan program PAS sejak akhir-akhir ini nampak begitu terserlah termasuklah pada Majlis Karnival Sambutan PAS Ke – 60 Tahun yang diadakan di Dewan Marwan al-Hakam, Dataran Hj. Mardi, Ayer Hitam, dekat sini, malam tadi.

Kemeriahan pada program yang menapak tepat jam 9.00 malam itu, dipanggil ‘Warong Kopi O Pentas Pemuda’ dimulakan dengan persembahan kumpulan Alternatif Band Club (ABC) dengan membawakan beberapa buah lagu antaranya nyanyian penyanyi Amar dan kumpulan Nasyid Saujana dengan lagunya ‘Keluarga Bahagia’.

Difahamkan, kumpulan ini yang berada di bawah Jabatan Amal Johor itu, ditubuhkan rentetan daripada isu serangan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan sedikit masa lalu setelah mengadakan satu konsert yang diberi nama ‘Untukmu Palestin’.

Menurut penyanyi solonya, sdr. Mohd. Nazri, kumpulan ini dianggotai seramai enam orang dengan diketuai sdr. Abas Suboh telah banyak mengadakan persembahan di pentas PAS.

”Kumpulan ini banyak buat persembahan seperti di Mersing, Parit Sulong dan Yong Peng. Kami turut mempunyai sebuah studio sebagai latihan dibuat secara mingguan.

”Sebelum ditubuhkan, kami telah mendapat nasihat daripada Dewan Ulamak negeri Johor.Hasil pertemuan itu, persembahan boleh diteruskan selagi tidak melanggar syarak” ujarnya lagi ketika ditemu bual oleh wartawan Mtd Pas Benut sejurus selepas melakukan persembahan.

Menyusul kemudian, pasukan Team Tomoi Pulai pula mengambil alih gelanggang. Kumpulan yang julung kali membuat persembahan itu mempunyai 4 orang anggota terlatih dengan bimbingan daripada juru latihnya iaitu Pak Drahim cukup tangkas beraksi seolah seperti juara Tomoi dalam filem aksi Thailand.

Teruja dengan persembahan itu membuatkan para hadirin tidak berganjak dari kedudukan masing-masing sehinggalah seniman Amni Jagat naik ke pentas utama untuk mendeklamasikan Sebuah sajak.

Amni, sastrawan muda, anak didik Dinsman, diberi peluang beraksi dengan menampilkan judul sajaknya iaitu ‘Ranjau 6 Dekat’ itu ternyata tidak mengecewakan hadirin kerana penyampaiannya yang cukup menghiburkan dan menyentuh jiwa.

Apa kurangnya pula dengan bakat yang dipamerkan oleh sdr. Khairul Faizi Ahmad Kamil, Setiausaha Dewan Pemuda Malaysia. Beliau dengan penampilan yang segak telah menghadiahkan sesuatu pada malam tadi dengan menyampaikan sebuah lagu daripada nyanyian Anuar Zain.

Orang kata, PAS cukup sinonim dengan majlis ilmu. Pendek kata, meskipun perjalanan majlisnya santai, namun para hadirin tetap dibekalkan dengan santapan rohani. Ini dapat dilihat, seusai sahaja penyempurnaan majlis perasmian oleh Dato’ Dr. Mahfodz Muhammad, Pesuruh jaya PAS negeri Johor, acara forum yang bertajuk ‘Melangkah Ke Putrajaya’ pula menyusul.

Slot itu telah menampilkan beberapa tokoh besar seperti YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, Sdr. Badrul Hisham Shaharin (Cikgu Bard), Pengerusi Solidariti Anak Malaysia (SAMM), Sdr. Khairul Faizi Ahmad Kamil, Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor dan sdr. Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Johor dengan mengupas initipati tajuk sebagai dorongan dan harapan menjuarai hati rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat amat layak menjadi pemerintah buat mereka kelak.

Sementara itu, majlis terhenti seketika bagi memberi laluan kepada sdr. Suhaizan Kaiat berceloteh dengan mirip sebuah sajak yang diberi judul ‘PAS Johor, Dulu Dan Sekarang’ buat bekalan dan azimat kepada para hadirin yang hadir.

Majlis yang berakhir jam 12.00 malam yang dihadiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur dan jantina, sekali lagi menyaksikan persembahan terakhir daripada Band ABC bagi menutup tirai majlis pada malam tadi.

Sesungguhnya, malam pertama bagi Karnival Sambutan Ke – 60 Tahun PAS disifatkan berjaya mempamerkan kelainan disamping ia merupakan nostalgia yang tidak mampu ingin dilupakan buat para pengunjung kerana PAS sudah jauh lebih matang dan terbuka sesuai dengan usianya yang menjangkau ke 60 tahun. Teruskan Perjuangan. Allahu Akbar !

Kategori:Uncategorized Tag:

UNIT AMAL Iringi Konvoi Berbasikal Fixie 2011

November 25, 2011 Tinggalkan komen

image

PONTIAN – Bagi tujuan memasyarakatkan PAS, Jabatan Amal dibawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian telah memainkan peranan itu dengan bersama-sama mengiringi para peserta program  Konvoi Kemanusiaan Berbasikal Fixie 2011.

Menurut Naib Ketuanya, Ustaz Muhammad Nazar berkata program tersebut merupakan antara aktiviti yang  telah disertai oleh Jabatan itu dengan bertindak sebagai pengiring peserta.

Menurut Nazar lagi, tujuan pasukan Amal Pontian menyertainya adalah disebabkan rasa kebertanggung-jawaban bersama bagi menyedarkan masyarakat akan bahaya dadah disamping membantu penganjur melicinkan lagi perjalanan program.

”Saya difahamkan program ini anjuran bersama Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Pontian dan beberapa agensi kerajaan terbabit bagi mengisi masa para remaja dengan aktiviti berfaedah.

”Disamping itu, kita mahu menyokong usaha mana-mana pihak dalam kempen memerangi dadah hingga ke akar umbi” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mtd Pas Benut sejurus majlis penyampaian hadiah kepada peserta program di Dataran Pak Wan, Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Puan Faridah Sulaiman, Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pontian, Tuan A. Kader Abu Bakar, Pengarah Urusan Syarikat Nur Qamar and Son Enterprise.

Sementara itu, Penyelaras Program, Cikgu Ibrahim Abdul Rahman berkata selain bertujuan mendekatkan diri dengan aktiviti kebajikan yang dianjurkan NGO, ia juga boleh memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa aktiviti kebajikan, kesukanan dan kesukarelawan adalah satu kaedah yang perlu diberikan sokongan dalam menangani masalah sosial.

”Kami juga ingin tekankan kepada para peserta bahawa mereka juga disaran menjauhi daripada melakukan gejala anti sosial disamping bersama menyampaikan bantuan kepada golongan yang dhaif” ujarnya lagi.

Tinjauan mendapati, peserta konvoi telah dilepaskan pada jam 8.00 pagi yang bermula dari Taman Megah Pontian dan berhenti sebentar di beberapa lokasi terpilih seperti Pekan Ayer Baloi, Pekan Sanglang dan Pekan Benut bagi tujuan edaran risalah dan misi kemanusiaan kemudian berakhir di Kampung Parit Kerimun Benut.

Kira-kira 60 orang peserta yang menyertai konvoi itu adalah terdiri daripada murid lepasan UPSR dan PMR di beberapa buah sekolah di daerah ini.

 

Program anjuran JKPD dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pontian itu turut disertai agensi kerajaan seperti Pusat Kesihatan Parit Ismail Benut, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pontian dan Angkatan Relawan Malaysia (RELA) Benut serta penaja daripada Syarikat Nur Qamar And Son Enterprise.

Kategori:Uncategorized Tag:

Haji Sudah Selesai Tapi Belum Jumpa Tarikh PRU – 13

November 24, 2011 Tinggalkan komen

BATU PAHAT – Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Presiden UMNO  diselar kerana masih gagal menemui tarikh yang sesuai bagi menghadapi pilihan raya akan datang walaupun sudah berkesempatan menunaikan Haji ke Tanah Suci.

Bagaimanapun, secara sinis Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor menyatakan kegagalan itu menggambarkan bahawa pilihan raya ke-13 akan datang merupakan acara paling getir yang bakal dihadapi oleh UMNO-Barisan Nasional.

Menurutnya, negara-negara yang dianggap maju sudah lama berbuat demikian dengan memberi peluang kepada parti yang bertanding untuk membuat persiapan seawal yang mungkin.

Namun beliau mempersoalkan dimanakah kewajarannya Perdana Menteri dilihat gagal mengumumkannya terlebih dahulu dan ini disifatkannya sudah jauh daripada pengamalan demokrasi sebenar.

”Negara kita istimewa. (Kerana) pilihan raya tak tahu melainkan Allah swt, Najib dan Rosmah” kata beliau lagi dengan nada sinikal.

Selain itu, kata Dr. Dzul lagi yang juga merupakan AJK PAS Pusat, persaingan sengit ini turut dikenal-pasti setelah berlakunya beberapa siri pilihan raya kecil yang memberi keputusan seri lapan sama.

Ujarnya lagi, sudah sampai masanya negara ini mengamalkan sistem dua parti supaya parti yang berpeluang memerintah sentiasa dapat disemak dan diimbang daripada kerajaan yang menanti.

Malah terangnya lagi, ia juga boleh mengelak kebobrokan satu kelompok manusia yang telah lama memerintah daripada melakukan banyaknya penyelewengan.

”Sebab itu kita sudah tinggalkan politik lama. Sekarang kita (berada) politik baru. Kuasa yang berada ditangan rakyat adalah demokrasi sebenar. Ditangan (rakyat) inilah yang akan naikkan dan turunkan kerajaan dalam pilihan raya ke 13,” tegas beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya di perkarangan Markas PAS Cawangan Parit Bilal, Batu Pahat, dekat sini, baru-baru ini

Hadir sama, YB Choi Tong Choi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Negeri Sembilan.

image

Kategori:Uncategorized Tag:

Kurang Faham HUDUD : Pemimpin MCA Diselar – Choi Tong

November 23, 2011 Tinggalkan komen

BATU PAHAT – Para pemimpin MCA terutamanya presidennya Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek diselar kerana tidak memahami isu hudud secara yang sepatutnya.

Sebaliknya, hanya dilihat terus-menerus membangkangnya tanpa memiliki asas yang jelas. Demikian kenyataan YB Choi Tong Choi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Negeri Sembilan.

Katanya lagi,  pandangan yang mengatakan bahawa jika hukum itu dilaksanakan dalam negara ini maka kebanyakan orang bukan Islam akan ‘dipotong’ adalah satu persepsi yang tidak tepat sama sekali.

”Soi Lek tak reti hudud. (pandangan) orang bukan Muslim kena potonglah !” katanya dengan nada sinis.

Beliau berkata demikian kepada hadirin sewaktu menyampaikan ceramahnya di perkarangan Bangunan Markas PAS Cawangan Parit Bilal Batu Pahat, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, YB Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor.

Beliau juga memberitahu bahawa penentangan golongan tersebut adalah disifatkan ‘berbau perkauman’ dan isu ini sengaja diputar-belit  sebagai menakut-nakutkan kepada bukan Islam khususnya kaum Cina negara ini.

”(tindakan ini) berbau perkauman. Ugut (masyarakat) Kaum Cina (supaya) tak sokong Pakatan Rakyat (PR)” terangnya lagi.

Mengulas lanjut, Choi berkata lagi bahawa rakyat negara ini harus bijak menilai pemimpin yang berkualiti berbanding dengan mereka yang hanya muncul bila tiba pilihan raya sahaja.

Malah katanya lagi UMNO-BN sudah cukup lama memerintah dan pada pilihan raya akan datang merupakan peluang buat rakyat untuk melakukan perubahan bersama.

”Cukuplah 53 tahun BN memerintah. Mudah-mudahan Tuhan izinkan kita akan menang. Putrajaya milik kita” ujar beliau lagi yang merupakan salah seorang ADUN PKR yang fasih berbahasa Melayu.

Kategori:Uncategorized Tag:

Teruja Dengan Kehadiran Kaum Cina Pada Forum Perdana Bersama Selibriti

November 22, 2011 1 komen

image

PONTIAN – Buat julung-julung kalinya masyarakat di Dun Benut teruja dengan Kehadiran kaum Cina pada majlis Forum Perdana bersama Selebriti, rancangan Keagamaan di kaca televisyen tempatan menyebabkan majlis itu menjadi meriah, dekat sini, sabtu lepas.

Perkara ini turut dinyatakan sendiri oleh Ustaz Roslan Mohammed, Pensyarah di Universiti Malaya (UM) dengan katanya, penglibatan masyarakat bukan Islam seperti itu menyatakan gambaran bahawa Islam mementingkan perpaduan.

Disamping itu menurut beliau lagi, kehadiran mereka juga tidak membawa sebarang masalah malah amat dialu-alukan.

”Saya amat seronok kerana malam ini kedatangan orang bukan Islam ke majlis ini. Islam tidak pernah taja perpecahan, keganasan, huru hara, tak ada.

”Islam agama penyelamat. Buktinya haji” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan ucapannya pada majlis Forum Perdana bertajuk Haji Mabrur di Dataran Pak Wan, Kampung Parit Kerimun, Benut, di sini.

Turut berucap, Ustaz Mohd. Fauzi Mustafa, pengacara rancangan al-kulliyyah Tv3 dan Ustaz Zamri Zainuddin, bekas Pengacara Mari Mengaji Tv9.

Selain itu katanya, kepelbagaian agama dan bangsa dalam negara ini merupakan peluang bagi setiap anggota masyarakat untuk merapatkan perpaduan.

Jelasnya lagi, dengan pertemuan sebegini memberi harapan bahawa ia merupakan satu penerangan tentang kebaikan Islam itu sehingga menatijahkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

”Kita yakin, dalam Malaysia kita nak sampaikan (penerangan kepada) orang bukan Islam sebagai rakan yang patut dihormati macam mereka sayang kepada keluarga mereka” katanya lagi.

Pada majlis yang sama, sejumlah 60 bungkusan hadiah telah diagihkan kepada hadirin yang bernasib baik dalam slot cabutan bertuah yang disediakan penganjur sendiri iaitu Syarikat  Nur Qamar and Son Enterprise.

Kira-kira kurang 1000 orang telah menghadiri program seawal 9.00 malam itu dan majlis berakhir pula pada jam 11.30 malam.

Hadir sama, Ustaz Atan Gombang, Pengelola Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut, Hj. Bachok Welang, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pontian. Ustaz Mohammad Nazar, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian, Sdr. Saiful Amri A. Suloh, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian.

 

Kategori:Uncategorized Tag:

Harimau Akan GANAS Apabila Tercedera – Hassan Karim

November 21, 2011 Tinggalkan komen

BATU PAHAT – ”Harimau kalau dah cedera ia akan ganas” begitulah analogi yang diterjemahkan oleh Encik Hassan Abdul Karim, bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) kepada siri-siri provokasi pihak tertentu terhadap majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat Di Johor.

Katanya lagi, kuasa yang dimiliki itu bukan mutlak dan kekal selama-selamanya, akan tetapi ia bersifat sementara. Manakala pihak yang berasa akan hilang kuasa akan bertindak sesuka hati tanpa mengira pertimbangan akal dan hati budi.

Justeru katanya, adalah suatu perkara yang biasa jika kejadian luar norma dan tidak bertamadun itu berlaku kerana ia dianggapkan sebagai ‘sifat alam’.

”Keseriusan parti pembangkang, ini tak berlaku pada pilihan raya ke 12.

”Bila dah perintah lama dan contohnya beberapa negeri dah hilang kuasa. Betapa susah nak (kembali) bangkit Barisan Nasional. Jadi BN akan bimbang dalam pilihan raya kali ini.

”Di Johor saja orang Melayu boleh berubah peratusannya (beralih kepada PR)” jelasnya lagi yang juga Ketua Cabang Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Parlimen Tanjung Piai.

Oleh yang demikian, beliau menambah dengan katanya bahawa pertembungan antara BN dan PR merupakan persaingan sihat dalam politik tanah air dan setiap parti politik itu harus menyedari bahawa  perlawanan itu bukan dengan keganasan sebaliknya melalui pembuangan undi dalam pilihan raya.

”Ini persaingan politik, berilah peluang kita bukan rampas tapi dengan pensel (Buang undi)” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis ceramah umum di perkarangan Markas PAS Cawangan Parit Bilal, Batu Pahat, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, YB Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor. YB Chai Tong Chai, ADUN Chuah, Negeri Sembilan.

Kategori:Uncategorized Tag: