Utama > Uncategorized > SIRAH : Saki Baki Agama Hanif Dalam Jahilliyah Arab

SIRAH : Saki Baki Agama Hanif Dalam Jahilliyah Arab


INI juga satu muqaddimah penting yang mesti dipelajari sebelum memasuki perbahasan sirah mengenai kefahaman tentang pengajaran sirah itu sendiri. Muqaddimah ini membawa kita menoleh ke belakang kepada satu kenyataan yang dulunya sering menjadi pertikaian mengenai agama ini kepada mereka yang melihat dari jauh yang semestinya kabur, lalu mereka tuduh dengan berbagai tuduhan palsu melalui agak dan sangka yang palsu.

Kesimpulan kepada hakikat ini, ialah bahawa Islam tidak lain dari lanjutan kepada agama Hanif yang mudah dan lapang ruangnya. Allah telah mengutuskan bapa juga datuk kepada para nabi, iaitu Ibrahim as membawa agama ini, telahpun dijelaskan oleh Allah mengenai ini melalui banyak ayat-ayatNya dalam Quran, antaranya :

”(Dan berjihadlah pada ‘menegakkan agama’ Allah dengan jihad yang sebenar, Dia ‘Allah telah pilih kamu (untuk berjihad), dan Dia tidak jadikan atas kamu sebarang kesukaran dalam agama ini, iaitu agama bapa kamu Ibrahim, dan Dia juga yang menamakan kamu ‘Muslimin’ sejak dahulu dan di (Quran) ini” – surah al-Haj : 78

FirmanNya yang lain, maksudnya :

”Katakanlah ; Benar (kata) Allah itu, maka ikutlah Millah (agama) Ibrahim Hanif (yang lurus) dan bukanlah dia (Ibrahim) itu dari kalangan orang-orang musyrikin,” (Ali-Imran : 95)

Memang sudah ada di pengetahuan anda bahawa orang Arab itu adalah anak cucu Nabi Ismail as, maka semestinya mereka mewarisi agama bersama selok-beloknya, iaitu agama yang telah Allah utuskan datuk mereka membawa Tauhid dan perintah beribadat kepada Allah, tidak menceroboh batas laranganNya, mentaqdis dan menghormati semua yang disuruh menghormatinya, yang utama sekali ialah menghormati dan mentaqdiskan Baitul Haram, menghormati segala syiarnya, mempertahankannya, melaksanakan perkhidmatan terhadapnya, serta menabir (kelambukannya).

Akan tetapi dengan berlalunya zaman, kurun demi kurun, mulalah orang Arab itu mencampur adukkan yang batil dengan yang haq, haq yang mereka pusakai dari datuk nenek mereka diadukkan dengan batil yang datang dengan tidak disedari, lalu cacat dan tercelalah seluruh bangsa Arab bila diselubungi kejahilan, hanyut dan sesatlah mereka bersama mereka orang-orang yang terpukau dan terpedaya oleh kepalsuan, dengan itu menyusup masuklah syirik ke dalam mereka, dan akhirnya menyembah berhala sudah menjadi kebiasaan kepada mereka, keruntuhan akhlak dan perkara-perkara batil yang mereka tiru juga ikut sama menyusup masuk. Dengan kerana itu maka jauhlah mereka dari suluhan Tauhid dan ciri-ciri agama Hanif, akhirnya setelah jangka masa yang panjang menyeluruhlah Jahiliyyah yang ketat, yang sukar hendak dilekangkan dan berikut itulah mereka berdepan dengan kebangkitan Nabi Muhammad saw.

Orang yang pertama mula memasukkan syirik dan mengajak bangsa Arab menyembah berhala ialah Amru bin Luhay bin Qam’ah, nenek moyang kepada suku Khuza’ah.

Ibnu Ishak meriwayatkan dari Muhammad bin Ibrahim bin Harits Taimi, bahawa Abu Salih Saman menceritakan kepadanya, bahawa beliau mendengar Abu Hurairah ra berkata ”Saya dengan Nabi berkata kepada Aktsam bin Jaun al-Kuza’i dengan mafhumnya :

”Saya lihat Amru bin Luhay bin Qam’ah bin Khandaf menarik berhala kayunya ke dalam neraka. Saya lihat dia itu benar-benar menyerupai engkau” lalu kata Aktsam :

”Apakah penyerupaan itu membahayakan saya wahai Rasulullah?”

”Tidak. Engkau adalah orang mukmin dan Amru itu kafir. Sesungguhnya dialah yang mula mengubah agama Ismail dengan memasang berhala, mencipta Bahira, Saibah, Wasilah dan Hami (tiga yang tersebut itu adalah unta betina yang dihadiahkan kepada berhala, unta-unta itu dihormati, tidak boleh ditunggang, tidak boleh diminum susunya, ia bebas memakan rumput di mana-mana) – sirah Ibn Hisham

Ibn Hisham meriwayatkan bagaiman cara Amru bin Lihay menerapkan penyembahan berhala ke dalam bangsa Arab, ia mengembara ke negara Syam atas urusan perniagaan. Bila dia tiba di Maab dalam daerah Balqa’ yang ketika itu didiami oleh suku Amaliq. Amaliq ertinya anak cucuk Amaliq bin Lawaz bin Sam bin Nuh as. Amru melihat mereka menyembah berhala, lalu dia bertanya :

”Apa bendanya yang kamu sembah ini?”

”inilah patung-patung berhala, kami sembahnnya meminta hujan maka ia menurunkan hujan, kami minta pertolongan ia memberi pertolongan,”

”Mahukah kalian beri kepadaku salah satu berhala itu. Aku akan bawa pulang ke bumi orang Arab untuk mereka sembahnya?,”

Lalu diberikan kepada Amru satu berhala yang dinamakan ‘Hubal’, berhala itu dibawa pulang ke Mekah dan disuruh orang menyembahnya.

Begitulah cara berkembangnya penyembahan berhala di tanah Arab dan tersebarnya syirik dalam bangsa Arab, dengan itu bertukarlah keadaan asal mereka yang dulunya berada di atas Akidah Tauhid pusaka dari Ibrahim dan Ismail kepada kepercayaan syirik dan akhirnya sampai ke peringkat sesat dan berakidah buruk seperti bangsa-bangsa lain yang sesat.

Pendorong utama mereka kepada yang demikian itu semua, ialah ketandusan pengetahuan dan buta huruf yang mereka miliki dan pengaruh persekitaran mereka dari berbagai kabilah dan bangsa.

Namun demikian, ada juga di kalangan mereka orang-orang yang masih kekal berpegang dengan akidah tauhid, walaupun hanya sedikit tetapi tetap berada di atas manhaj agama hanifnya, tetap mempercayai kebangkitan Nabi, tetap mempercayai hidup semula sesudah mati dan tetap yakin bahawa Allah pasti beri ganjaran pahala kepada orang yang taat, balasan seksa kepada orang yang derhaka.

Golongan ini memang benci kepada segala apa yang diada-adakan oleh orang Arab seperti penyembahan berhala dan cara pemikiran yang sesat, mereka yang terkenal dengan pegangan ini memang banyak, di antaranya seperti Qis bin Saidah, Al-Ayadi, Ri’ad Ash Shanni dan Buhaira Al’Rahib.

Walaupun begitu, keadaannya orang-orang Arab, Namun perinsip-prinsip dan syiar-syiarnya sejak Nabi Ibrahim, masih kekal saki bakinya dalam adat dan budaya mereka walaupun dalam keadaan paling lemah setelah sekian lama merentasi zaman, namun kejahiliyyahan mereka masih bersadurkan sedikit sebanyak peninggalan yang berupa syiar dan prinsip agama Hanif, walaupun syiar dan prinsip itu biasanya muncul dalam bentuk rupa yang buruk dan jahat seperti menghormati kaabah, tawaf, menunaikan haji, umrah, wuquf di Arafah dan sebagainya, adalah berasal dari syariat yang mereka warisi sejak zaman Nabi Ibrahim tetapi mereka adukkan dengan beberapa perkara yang bukan asal, seperti Talbiyah mereka di masa melakukan Haji dan Umrah berbunyi dengan maksudnya,

”Mereka tambahkan : melainkan dia yang menjadi sekutu bagiMu, Engkau miliki apa yang dia miliki”, mereka tauhidkan Allah kemudian mereka sekutukan dengan berhala-berhala mereka dan mereka jadikan berhala itu milik Allah – mengikut riwayat Ibn Hisyam.

Bersambung,

Sumber : Feqh Sirah, Ramadhan al-Buthi

Kategori:Uncategorized Tag:
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan komen