Arkib

Archive for April 11, 2012

SAMM Berjaya Gegarkan Kubu Ahmad Maslan

April 11, 2012 Tinggalkan komen

image

PONTIAN – Jelajah Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ke seluruh negara berkenaan BERSIH 3.0 menapak ke kubu kuat Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Pekan Parit Betak, Benut, dekat sini, semalam.

Program yang diberi nama Pidato Anak Muda itu turut menampilkan beberapa tokoh daripada golongan itu seperti Adam Adli, Shazni Munir (GAMIS), Syed Omar (NGO Anak Muda), Faisal Ariffin Mohd Kassim (ANAK) termasuklah Che Gu Bard sendiri.

Difahamkan,  program tersebut bertujuan untuk memastikan himpunan BERSIH 3.0 berjalan tersusun, aman dan mencapai matlamat.

Selain itu, peluang dibuka sama kepada anak muda untuk berkongsi pentas dalam menyuarakan kekecewaan terhadap urus tadbir negara yang dikepalai UMNO.

Sementara itu, Faisal Arifin Mohd Kassim, Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang diberikan peluang memulakan ucapan telah mendedahkan penyelewengan kerajaan UMNO terhadap warga Felda sehingga golongan ini terpedaya dengan muslihat mereka.

Sebagai contoh katanya lagi, Di Felda Cahaya Baru sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar Johor, para peneroka telah ditawarkan sejumlah RM1,3 juta dengan harapan dapat menjual tanah milik mereka atas alasan pembangunan.

”Kerana terpedaya dengan jaminan RM1.3 juta, RM100,000 dibayar sebagai umpan. Lepas itu senyap !. Adakah taat dan setia orang Melayu kepada UMNO berbaloi?,” soalnya lagi.

Dalam pada itu, Shazni Munir, bekas Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) pula mempersoalkan dimanakah kewajarannya pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi pertikaian pemimpin UMNO.

Sedangkan katanya, keuntungan dari Petronas sudah terlalu cukup untuk berbuat demikian.

”Sebagai contoh. Zakat Petronas sudah ada dua zakat. Pertama, zakat perniagaan. Kedua, hasil bumi. Itupun Petronas bayar ke tidak. Tak bayar jawablah depan Tuhan.

”Apabila ia diasing-asing kepada asnaf (golongan yang layak menerima zakat), pelajar adalah salah satunya. Jadi duit ini boleh dihalalkan. Ini sebenarnya kerajaan UMNO takut,” katanya lagi.

Pada majlis yang sama, sasterawan muda Amni Jagat turut beraksi dengan mendeklamasikan sajak yang bertajuk ‘Tanah Maruah Rakyat’ dan pelancaran tandatangan menuntut kerajaan UMNO Johor mengadakan jalan alternatif antara Pekan Tampok ke Parit Betak telah dibuat.

Tinjauan mendapati, kira-kira 50 anggota Komrad SAMM negeri ini turut hadir bagi menyatakan sokongan kepada penganjuran program tersebut dan pertemuan tertutup telah diadakan sejurus majlis itu selesai.

Hadir sama, M Subramaniam, Ketua Penerangan, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Johor, Ustaz Atan Gombang, Penyelia, Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut.

Kategori:Uncategorized Tag:

Kenyataan Ahmad Maslan Bersifat RETORIK

April 11, 2012 Tinggalkan komen

image

PONTIAN – Datuk Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian disaran agar tidak mengeluarkan kenyataan yang retorik, populis dan terdesak untuk meraih simpati dengan menyebut Barisan Nasional telah lama berjuang membantu rakyat.

Hal ini kerana, Ahmad pernah didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan UMNO telah melakukan usaha membasmi kemiskinan melalui pelbagai bantuan untuk membantu rakyat melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Namun yang menjadi persoalannya, adakah penyalurannya itu sampai ke sasaran?

Menurut Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut, Ustaz Atan Gombang, antara contoh terdekat ialah di Parlimen Timbalan Menteri Di jabatan Perdana menyaksikan ada individu yang hidup melarat tanpa diberikan perhatian dan mengharap ehsan daripada Ahmad.

”Tapi, malang bagi Hadijah Marie, 70, yang hidup di sebuah rumah usang seperti pondok di Kampung Parit Mansor, Benut. Dia tidak boleh berjalan sejak 3 tahun lalu kerana penyakit gaot.

”Tak pernah dapat bantuan walaupun 5 kali memohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tapi tiada sebarang jawapan.

”Dia kata, suaminya Osman Marjan, 64, kerja tak menentu. Tiga bulan tak kerja. Kali terakhir jadi Pengawal Keselamatan di sebuah kilang. Terpaksa pergi sendiri naik motor ke pejabat JKM di Pontian.

”Kalau hari hujan dan ribut lebih menakutkan kerana bimbang rumahnya akan roboh selain bocor dan basah sehingga ke lantai,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan sempena program Konvoi Kebajikan Dewan Pemuda PAS Pontian, di Unit Peti Undi (UPU) Parit Mansor, Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Atan yang juga mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor menuntut supaya Ahmad lebih berhati-hati sebelum kenyataan dibuat kerana rakyat kini bijak menilai kredibiliti ucapan dan perlakuannya.

Kategori:Uncategorized Tag: