Arkib

Archive for April 23, 2012

TARBIAH Perlu Sewaktu Keadaan Kritikal

April 23, 2012 Tinggalkan komen

LABIS – Dalam menghadapi bahang dan demam Pilihan raya yang akan datang, ramai yang terlepas pandang kepada satu elemen yang boleh memberi kekuatan jiwa sewaktu menghadapi suasana yang kritikal dan mencabar.

Menurut Normala Sudirman, bekas calon Pilihan raya kecil Dun Tenang, Tarbiah adalah proses yang sentiasa diperlukan baik dalam keadaan selesa mahupun getir.

Hal ini kerana, kemantapan iman amat diperlukan bagi memperolehi reda dan bantuan daripada ALLAH swt.

“Tarbiah amat diperlukan sepanjang masa, terutama ketika suasana kritikal, seperti sewaktu pilihanraya. Suasana begini amat penting kerana unsur iman diperlukan untuk mendapat sokongan dan pertolongan Allah.

“Meneruskan usaha tarbiah amat diperlukan sebagai persediaan kepada generasi akan datang untuk menyambung tugas perjuangan jihad sebagai barisan pelapis,” ujarnya menerusi laman rasmi facebooknya.

Beliau yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Pemanis berkata demikian sebagai mengulas satu artikel tulisan Ustaz Idris Ahmad, dalam akhbar Harakah dengan mengingatkan kepada pendokong gerakan Islam supaya tidak mengabaikan Tarbiah terutama ketika menghadapi pilihan raya.

Ustaz Idris dilaporkan berkata keperibadian Muslim yang tulen merupakan batu bata yang menjadi tapak kepada pembinaan jamaah. Kukuhkan peribadi Muslim melalui program tarbiah fardi (perseorangan) atau secara jama’i). Jika berlaku kelemahan dan kecacatan di dalam proses pembinaan ini maka jamaah perlu dipertangungjawab kenapa perkara ini berlaku.

Sekiranya jamaah sudah berusaha semaksimum mungkin mengatur program, namun sikap ahli atau pimpinan yang  tidak memperdulikan program ini, maka jamaah boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.

Katanya lagi,tabiat perjuangan itu sendiri yang perlu meletakkan asas yang kukuh kerana ia menuntut pendokongnya kepada amal jihad yang berterusan. Untuk mendapat kejayaan cemerlang, jamaah mesti melahirkan  manusia yang memiliki akidah yang betul-betul memahami Islam mengikut sistem tarbiah  yang baik bagi persediaan kepada jihad dan pengorbanan.

Kategori:Uncategorized Tag:

KEBAJIKAN Gerunkan UMNO

April 23, 2012 Tinggalkan komen

PONTIAN – Slogan Negara Berkebajikan nyata meningkatkan tahap kegerunan kepada UMNO kerana PAS telah menterjemahkannya tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurut Syed Othman Syed Abdullah, ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, suatu ketika Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor pernah menyebut bahawa Johor yang berstigma kubu kuat Barisan Nasional sudah tidak boleh lagi dibanggakan.

Hal ini dakwanya kerana, gerakan Islam PAS telah mendahului UMNO dalam menggerakkan aktiviti kebajikan dan menyantuni rakyat terbanyak.

“UMNO tidak mampu sebagaimana kita buat. kita telah lahirkan tokoh-tokoh yang boleh bagi sumbangan secara ikhlas. kalau ada RM10 boleh bagi RM5 untuk perjuangan.

“Saya ada seorang kawan di Kedah. Dia cerita hasil menoreh getah. Sekeping getah boleh dibagi dua kerana kita telah jalani proses tarbiah. Ini beza UMNO dengan PAS,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmian pada majlis Mesyuarat Agung PAS Kawasan Pontian kali ke 25 di Dewan Pusat Tarbiah PAS Pontian, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Pontian, Dr Ungku Mohd Noor Ungku Mahmood, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Pulai Sebatang.

Sementara itu, beliau yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Permas berkata kejayaan PAS menyantuni rakyat dengan aktiviti kebajikan di negeri ini kerana memanfaatkan pengaruh media.

Tambahnya lagi, rakyat sebenarnya ingin tahu perkembangan terkini parti Islam itu maka peluang menyebar-luaskan penerangan berkenaan aktiviti tersebut wajar difikirkan dan digerakkan secara maksimum.

“Saya ikut perkembangan gerak kerja PAS Pontian melalui (facebook) Mtd Pas Benut. Rakyat lihat  dan orang kenal PAS (melalui media alternatif). Kalau dulu susah nak lihat orang Cina bersama PAS. Tapi hari ini, PAS Pontian mampu menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) seperti hari ini,” katanya lagi.

Tinjauan turut mendapati, kira-kira 30 orang ahli DHPP telah menyarungkan baju berwarna kuning pada majlis tersebut sebagai tanda sokongan kepada perhimpunan BERSIH 3.0 yang dijadualkan pada 28 April ini.

Kategori:Uncategorized Tag: