Arkib

Archive for Januari 2012

Misi PR Tawan Johor

Januari 26, 2012 Tinggalkan komen

TIMBALAN Presiden PKR, Azmin Ali berkata, adalah tidak mustahil untuk merampas negeri Darul Takzim itu kerana yakin rakyat Johor telah mula ingin melihat wahana politik baru di negeri itu.

Sinar Harian hari ini bagaimanapun hanya melaporkan bahawa Pakatan Rakyat kini menyasarkan sebuah lagi negeri yang menjadi kubu kuat BN – Johor.

Laporan itu memetik sebagai berkata Azmin Ali yang juga Pengerusi PKR Selangor memberi keyakinan itu berdasar situasi dan perkembangan semasa yang berpihak kepada PR.

“Jika Johor berjaya dirampas, ini merupakan permulaan yang baik untuk Pakatan Rakyat (PR) menyusun langkah bagi menawan Putrajaya tetapi perkara ini tidak mungkin berlaku jika Sabah dan Sarawak tidak berada dalam genggaman,” kata beliau dalam satu wawancara bersama Sinar Harian Online.

“Dalam usaha untuk menawan Johor, kami juga akan berusaha untuk mempertahankan Selangor dan dalam masa yang sama kami akan memperluaskan pengaruh ke daerah-daerah yang telah ditakluki,” katanya.

Sementara itu, Azmin turut mengulas kenyataan terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor yang meminta kepimpinan BN Selangor untuk merampas Selangor dengan apa cara sekalipun.

“Jelas kenyataan itu menunjukkan Najib menggalakkan ahlinya boleh menghalalkan apa cara sekalipun termasuk rasuah, mengugut ataupun merampas demi mencapai matlamat yang ingin dicapai.

“Jika beliau (Najib) merupakan kelompok yang sederhana, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana boleh membimbangkan rakyat,” kata Pengerusi PKR Selangor ini.

Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak menambah, Najib sebagai seorang pemimpin yang demokrat sewajarnya menghormati keputusan rakyat Selangor yang telah memilih PR sebagai peneraju baru negeri itu.

Beliau bagaimanapun tidak bimbang tentang situasi ini kerana merasakan apa yang berlaku sekadar retorik dalam politik semata-mata.

Katanya, maklum balas yang diterima oleh rakyat Selangor terhadap kepimpinan PR adalah sangat positif terutamanya kini rakyat Selangor dapat merasai hasil dari khazanah negeri itu.

Kategori:Uncategorized

JOHOR, Masyarakat Kampung Sudah Bersedia Terima PAS

Januari 26, 2012 Tinggalkan komen

image

PARIT SULONG – Perkembangan parti Islam itu di Johor sejak akhir-akhir ini telah menerima satu lagi lonjakan, kata Sdr. Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS.

Hal ini, kerana setelah memperlihatkan pemikiran orang Melayu termasuk di kampung-kampung boleh menerima hakikat bahawa PAS bukan semata-mata berkedudukan sebagai pembangkang.

Tambahan pula, pencapaian di beberapa negeri di bawah pemerintahan parti itu telah membuktikan bahawa PAS bersama Pakatan Rakyat mampu menjadi pentadbir negara yang baik.

”Kalau dulu PAS berada di kampung-kampung. Orang kata parti Tok lebai. Pakai serban.

”Calon-calon PAS sukar nak dapat apa yang disebut profesional. Yang ada bertanding adalah orang biasa,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu ceramah umum anjuran PAS Kawasan Parit Sulong sempena dengan Karnival Sambutan PAS 60 Tahun peringkat kawasan itu di Markas PAS Cawangan Parit Bisu, Semerah, Batu Pahat, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama Dato’ Dr Mahfodz Muhammed, Pesuruhjaya PAS negeri Johor, Sdr. Hasni Abas, Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI.

Malah katanya lagi, dahulu masyarakat menganggap bahawa PAS tidak berupaya untuk memenangi sebarang kerusi ekoran kenyataan seorang pemimpin UMNO Johor yang memperkecil-kecilkan kemampuan parti itu.

Namun kini ujarnya, segalanya telah berubah berikutan kerusi Dun Maharani dan Sungai Abong telahpun dimenanginya.

”Bekas pemimpin UMNO Johor, saya tak mahu sebut nama. Dah meninggalpun. Dia kata PAS ini mustahil menang di Johor walaupun bertaut bumi dan langit, PAS tak akan menang di Johor. Itu dulu.

”Sekarang PAS Johor orang buka mata bukan parti pembangkang semata tapi alhamdulillah orang Melayu boleh menang di negeri pantai barat. Dulu tak mungkin PAS dapat kejayaan seperti ini,” katanya lagi.

Kategori:Uncategorized Tag:

Cikgu MALA Bertekad Akan Menjuarai Isu Kebajikan

Januari 25, 2012 Tinggalkan komen

LABIS – Pn. Normala Sudirman atau mesra dengan panggilan Cikgu Mala berazam melipat gandakan kerja untuk memartabatkan Islam setelah diamanahkan secara rasmi sebagai Penyelia di Pusat Aduan rakyat (PAR) Zon Pemanis.

Katanya lagi, dengan bebanan tugas yang semakin bertambah itu menjadikan dirinya lebih bersemangat dan beriltizam dengan memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Bermula 16 Januari 2012, saya telah diamanahkan menerajui Pusat Aduan Rakyat DUN Pemanis. Selaku Pengerusi Hal Ehwal Parlimen & DUN Dewan Muslimat Pas Negeri Johor,Saya akan berusaha melaksanakan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin dan beriltizam akan berusaha menjuarai isu kebajikan mereka yang masih belum terbela bersama skuad Pusat Aduan Rakyat DUN Pemanis.Insya- Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ketika ditanya berkenaan kedudukan Dun Tenang setelah beralih tugas ke Dun Pemanis, beliau yang juga bekas calon PAS di Dun itu dilaporkan berkata bahawa tugas memantau perjalanan di setiap Dun sememangnya sudah menjadi tugasnya lebih-lebih lagi kini diamanah sebagai Pengerusi Hal Ehwal Parlimen dan DUn Dewan Muslimat, maka dalam hal ini tidak timbul soal pengabaian kepada kedudukannya di Dun Tenang.

Sebaliknya tambah beliau lagi, tumpuan kepada gerak kerja perlu wujud selain berusaha mendapatkan keredhaan Allah SWT dan mengharap segala urusan yang dilakukan akan dipermudahkan Allah s.w.t

“DUN Pemanis perlu dibantu dan Dun Tenang tidak di lupa.Tanggungjawab di peringkat negeri selaku Pengerusi Hal Ehwal Parlimen dan DUN Dewan Muslimat Negeri Johor perlu membantu semua. Lebih – lebih lagi diberi amanah selaku Naib Ketua Muslimat Negeri Johor. Yang penting, terus berjuang untuk mencari redha Allah. Syukran,” terangnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Kawasan Maharani, Y.B Dr. Mohammad Taslim dalam kenyataannya memberi perangsang supaya menjadikan Dun Pemanis sebagai tapat perjuangan bagi menggegarkan UMNO-Barisan Nasional.

Katanya lagi, berkat kesabaran dan ketabahan yang dilalui oleh Cikgu Mala nyata kelayakan menerajui gerak gempur pilihan raya harus dimiliki oleh bekas guru tersebut.

“Pengalaman lalu memberi keTENANGan. Ujian, badai, banjir besar dah dilalui dengan jayanya. Tahniah Cikgu Mala.

“Sekarang masa untuk mengecap keMANISan iman dan Islam. Sudah selayaknya anda menerajui PEMANIS dengan TENANG. Akan adakah Dataran Cikgu Mala di Pemanis sebagai tapak perjuangan menggegar BeeEnd(Barisan Nasional)? Salam perjuangan 🙂 ALLAHUAKBAR !,” ujar beliau dalam laman sosial facebooknya.

Kategori:Uncategorized Tag:

Tindakan Halang Guna Gelanggang Futsal Diselar

Januari 24, 2012 Tinggalkan komen

image

PARIT SULONG – PAS Kawasan Parit Sulong menyelar tindakan salah seorang Ketua Kampung di Parlimen itu yang tidak membenarkan penggunaan gelanggang Futsal bagi membolehkan penganjuran Sukan Futsal itu dianjurkan.

Menurut Yang Dipertuanya, Tn. Hj. Hairuddin Abd. Rahim mempersoalkan tindakan tersebut yang nyata gagal membezakan kemudahan awam itu telah disediakan oleh kerajaan atau ia milik UMNO.

”Ada Sukan Futsal dari sabtu lepas di Parit Kuda Barat. Walaupun ada halangan daripada UMNO untuk guna padang Futsal. UMNO kata itu milik mereka. Padahal ia milik kerajaan.

”Peringkat awalnya, Ketua kampung tak bagi (benarkan). Bila kita mohon kepada Pegawai Daerah dia bagi,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Sambutan Karnival PAS 60 Tahun peringkat PAS Kawasan Parit Sulong, di perkarangan Markas PAS Cawangan Parit Bisu, Parit Semerah, Batu Pahat, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ustaz Ahmad Rosdi, Setiausaha PAS Kawasan Parit Sulong, Sdr. Zamzuri, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Sulong. 

Terdahulu beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan Sukan Futsal bagi merebut Piala YDP apabila pasukan Peserai A dinobatkan sebagai juaranya.

Pertandingan yang melibatkan 14 pasukan itu terdiri daripada pasukan seperti Sungai Balang A yang muncul sebagai naib juara. Kemudian diikuti Rimba laut tempat ketiga. Manakala pasukan Makmur FC hanya mampu meraih tempat ke empat.

Difahamkan, Sambutan Karnival itu telah dilaksanakan selama tiga hari dua malam dengan menampilkan pelbagai acara seperti di hari pertamanya, Konsert Suara Anak Muda, pertandingan muslimat, acara PASTI, pertandingan Karaoke, persembahan Alternatif Band Club (ABC), Sukan Rakyat, Rawatan Perubatan Percuma, Pertandingan Tea tarik dan Menebar roti canai.

Manakala pada hari berikutnya, Himpunan KERABAT, Pelancaran We Care, Anugerah Tokoh telah diadakan dan kemuncaknya pula diadakan Ceramah Perdana daripada Naib Presiden PAS, Sdr. Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Muhammed, Sdr. Hasni Abas, Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI.

Program turut diserikan dengan kebanjiran gerai pameran dan jualan bagi menarik perhatian pengunjung.

Kategori:Uncategorized Tag:

Santuni Kaum Tionghoa, Lambang keharmoniaan Masyarakat Majmuk : Cikgu MALA

Januari 23, 2012 Tinggalkan komen

LABIS – Bekas Calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Tenang menjelaskan bahawa suasana semangat muhibbah antara kaum di Malaysia jelas menyerlahkan lambang keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia apabila pihaknya menyantuni Kaum Tionghua dengan memberikan buah limau, Kad Tahun Baru Cina dan Risalah Buku Jingga di Pekan itu, dekat sini, baru-baru ini.

Katanya lagi Edaran kad Tahun Baru Cina pada 17 Januari lalu turut disertai bersama Pn. Natrah Ismail, Ketua Wanita Keadilan Johor telah mendapat Respon yang baik daripada masyarakat Cina.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada mereka yang terlibat diatas kesungguhan yang dipamerkan itu memberi makna bahawa PAS tetap meraikan dan mengiktiraf masyarakat Tionghua sebagai sebahagian daripada kelompok rakyat yang mendiami bumi Malaysia ini.

“Keluhuran budi menambat hati, kesungguhan berbakti amat dihargai. Syukran kepada sebahagian Muslimat Pas Kawasan Sekijang yang membuat persiapan menyantuni Kaum Tionghua sempena Tahun baru Cina.

“Masyarakat Tionghua di Malaysia merupakan kelompok kedua terbesar di negara ini dan memberi kesan terhadap politik dan sosial negara. Ubah Sekarang! Selamatkan Malaysia! Tulisan Cina yang berbunyi ” HUAN” yang bermaksud UBAH,” ujarnya lagi.

Beliau dilaporkan berkata menerusi laman sosial facebooknya hari ini, bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut oleh masyarakat Tionghua di Malaysia dan di seluruh dunia minggu ini, mengharapkan hubungan kekeluargaan dapat dieratkan dari masa ke masa bagi menjamin keharmonian bersama.

“Pusat Aduan Rakyat DUN Pemanis ingin mengucapkan selamat menyambut hari kegembiraan tersebut. Perayaan yang turut melibatkan majlis makan besar dalam keluarga besar merupakan satu nilai positif yang juga turut disanjung ajaran Islam.

“Islam juga menggalakkan hubungan kekeluargaan dipereratkan, malah jika sudah memeluk Islam sekalipun, hubungan kekeluargaan tidak pernah putus khususnya dengan kedua ibu bapa mereka.”

terang beliau lagi yang juga merupakan Pengerusi Hal Ehwal Parlimen dan DUN Dewan Muslimat Pas Negeri Johor.

Kategori:Uncategorized Tag:

Tahun Baru Cina : Kukuhkan Kerjasama Dalam Pakatan Rakyat

Januari 23, 2012 Tinggalkan komen

PONTIAN – Pendokong Pakatan Rakyat (PR) disaran supaya mengukuhkan kerjasama politik bagi mengorak langkah menumbangkan UMNO-Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

Perkara ini ditegaskan oleh Ustaz Mohd. Faizul Hakim Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Pontian dengan menyetujui kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghoa di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru semalam iaitu sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan,” ujar beliau ketika diminta mengulas tentang perayaan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, peranan diplomasi amat penting jika melibatkan isu sensitif antara komponen PR. Justeru itu katanya ia haruslah diselesaikan di meja rundingan bukan dengan mengeluarkan kenyataan di media massa milik UMNO-BN.

Beliau menegaskan perkara ini dengan merujuk kepada sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW bagaimana sikap bijaksana baginda dalam melakukan perundingan dengan wakil-wakil daripada negara bukan Islam.

“Baginda melayan diplomat asing dengan layanan baik dan istimewa. Disebabkan layanan yang baik, musuh-musuh Islam tidak berasa bimbang untuk menghantar wakil mereka berunding dengan baginda.

“Malah ada diantara utusan dan yakin tersebut yang terus memeluk Islam seperti yang terjadi kepada Abu Ra`fi, seorang wakil Quraisy. Dia menyatakan keIslamannya dan enggan pulang ke Mekah. Baginda bersabda `Kamu adalah seorang utusan. Kamu mesti pulang. Sekiranya kamu masih kekal dan yakin seperti sekarang, kamu sentiasa mempunyai kebebasan untuk pulang sebagaimana orang-orang Islam yang lain,” terangnya lagi.

Beliau menambah lagi dengan katanya politik perkauman pihak pemerintah yang diamalkan ternyata menyumbang ketidak selesaan kepada kaum bukan Melayu.

Bahkan ujarnya, semangat perkauman itu nyata memberi kesan negatif kepada agama Islam kerana ia tidak menjadikan kepentingan penyatuan membimbing manusia kepada mentauhidkan Allah SWT.

“Ia adalah bentuk penyatuan yang membawa penyesalan para pengamalnya di akhirat kelak,” tegas beliau lagi.

Sinar Harian 21 January 2012 lalu melaporkan kenyataan Presiden PAS mendakwa pemerintahan negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap.

Kategori:Uncategorized Tag:

KAGUM Dengan Pandangan Sendiri Antara VIRUS Dalam Gerakan Islam

Januari 22, 2012 Tinggalkan komen

PONTIAN – Para pendokong gerakan Islam PAS dinasihatkan supaya membuangkan segala sifat

mengutamakan dirinya, kerana mungkin peranannya hanya pada separuh perjalanan sahaja

bilamana orang lain pula yang akan menyambung peranannya itu.

Perkara ini ditegaskan oleh Ustaz Muhammad Nazar, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPPK) Pontian dengan katanya sekiranya ia ingin membina pandangannya bersendirian sudah pasti ia tidak akan berjaya dan tidak berkemampuan untuk berbuat demikian serta pembinaan itupun tidak akan sempurna.

Menurutnya di antara penyakit-penyakit yang mengganggui perjalanan amal jama’ie ialah sifat bakhil yang amat dituruti, hawa nafsu yang mengutamakan dan berbangga dengan pemikiran sendiri.

“Bilamana seseorang manusia mematuhi hawa nafsunya dan melayan sifat bakhilnya, mengutamakan dunia serta ‘ujub (kagum) dengan pemikirannya, manusia itu tidak mungkin dapat hidup dengan jamaah,” ujarnya lagi.

Beliau berkata dengan memetik pandangan daripada ulamak terkemuka Said Hawwa R.A bahawa penyakit yang dinyatakan itu boleh diubati seperti sifat bakhil ialah dengan amalan bersedekah.

Manakala Hawa nafsu yang dituruti pula perlu diubati dengan membiasakan diri seseorang itu untuk selalu bercanggahan dan menentang kehendak hawa
nafsunya serta menuntun jiwanya untuk kembali ke jalan Allah SWT.

Malah bila seseorang itu berasa pandangannya lebih hebat daripada pandangan ahli Syura maka ia harus diubati pada diri pengidapnya sendiri iaitu memuhasabah bahawa Allah SWT adalah Maha Hebat dari segala-galanya.

“Kembali ke arah diri, betapa lemahnya, betapa lemahnya ía. Di samping itu ia hendaklah melihat betapa berkatnya pandangan syurã yang matang, saf yang matang dan kepimpinan yang matang; bertolak dari keinsafan ini ia akan terasa betapa lemahnya pemikiran bersendirian.

“Faktor yang paling penting di dalam usaha pengubatan penyakit ini ialah membiasakan diri dengan syura,” jelasnya lagi ketika dihubungi semalam.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang berharap isu Dr. Hasan Ali dapat diselesaikan dengan cara syura pada 8 januari lepas.

Semalam akhbar Sinar Harian melaporkan Mursyidul Am Pas itu berharap tindakan yang diambil terhadap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali akan menyelesaikan konflik dalaman parti itu selama ini.

Dr Hasan dipecat dari keahlian Pas pada 8 Januari lalu kerana mengeluarkan kenyataan yang merugikan Pas dan sehingga kini mengeluarkan pelbagai kritikan terhadap kepimpinan parti itu.

Kategori:Uncategorized Tag:

UMNO Bagaikan Rumah Usang Yang Ingin Roboh – Pak Ungku

Januari 20, 2012 Tinggalkan komen

image

PONTIAN – ”Dia (UMNO) dianggap rumah usang yang tak boleh dibaiki. Nak usik sana sini akan roboh. Kata Prof Dr Ungku Mohd Noor Ungku Mahmood, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Pulai Sebatang, Parlimen Pontian.

Hal ini, kerana katanya parti itu kini bergelumang dengan salah laku penyelewengan kuasa sehingga menimbulkan kebencian kepada rakyat.

”Apa yang buat orang marah ialah penyelewengan yang dia buat, rakus, rompak duit, rasuah.

”Ini yang dilihat selepas pilihan raya ke-12. UMNO kalau tak ubah trend ini dia akan musnah. Peringkat awal dia nak ubah tapi tak boleh,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Disamping itu dakwanya lagi, UMNO telah menggunakan isu perkauman dengan harapan mampu meraih semula sokongan.

Sebaliknya katanya lagi, sentimen yang digunakan itu jelas memberi petanda bahawa rakyat khususnya kaum Cina menjauhi mereka.

”1Malaysia dibuat untuk imbangi sokongan orang Cina tapi rupanya meleset. Bantahan pengundi Cina terus melonjak.

”Tadi kawan Cina saya di Taman Universiti, di Skudai kata, memang ada gelombang pada orang Cina muda kecuali pekebun-pekebun sayur (dalam kampung).

”Sebab itu tiba-tiba isu Melayu keluar nak pujuk Cina tak boleh. Peratus sokong Pakatan Rakyat (PR) lebih meningkat. Main isu Melayu, kalau PR perintah raja Melayu-Islam hilang. Melayu berbalah habislah negeri ini.

”Memang ditanamkan kepada orang Melayu. (namun)
Seperti hari Kemerdekaan tak ada orang yang gantung bendera di rumah sebab siapa yang gantung dia orang UMNO. Merdeka UMNO. Orang dah salah tafsir. Ini kebencian orang pada UMNO.

”Dia berhujah. Sama saja Islam-Melayu? Kita lihat isu UMNO, tapi orang tak tengok,” terang beliau lagi.

Beliau yang juga mantan Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Johor itu yakin bahawa UMNO akan membubarkan Parlimen setelah memperlihatkan strategi yang disusun dengan pelbagai cara itu benar-benar berpihak kepada mereka. 

”Dia memang yang lepas-lepas macam itu.
Pelbagai cara dia akan buat contoh di Lembah Pantai, pengundi bertambah dia yakin tempat ini dia menang, dia bubar,” tambahnya lagi.

Kategori:Uncategorized Tag:

Tahalluf Siasi, Gerakan Islam Dunia Ambil Contoh Daripada PAS

Januari 19, 2012 Tinggalkan komen

image

BATU PAHAT – Timbalan Presiden PAS, Hj. Mohammad Sabu berkata gerakan Islam tersohor dunia seperti Ikhwanul Muslimin telah mengambil pendekatan kerjasama politik daripada PAS bagi diamalkan di negara mereka.

Hasil daripada pengamalan itu katanya mempamerkan satu kejayaan yang memberangsangkan dan ini memberi gambaran bahawa tahalluf siasi itu diharuskan oleh syarak.

”Tahalluf (kerjasama politik), rupanya ia berlaku di seluruh dunia. Lubnan bertahalluf termasuk dengan kristian dan Hizbullah.

”Calon Ikhwanul Muslimin ada calon kristian. Inilah penerokaan para ulamak dalam nak tukar regim zalim UMNO Mesir.

”Kalau tidak bergabung termasuk koptik, Ikhwanul Muslimin (mungkin) tak boleh berjaya besar.

”Jangan ada orang Islam terkejut kalau ada orang bukan Islam calon PAS sebab tahalluf dibuat gerakan Islam seluruh dunia bahkan kita mendahului,” katanya lagi.

Menurut beliau, pada era 90an kerjasama politik telah turut dilakukan dengan parti Semangat 46. Hal ini berlaku kerana mendapati untuk tempoh tersebut, jalinan kerjasama dengan DAP diakui amat susah.

”Melayu takut dengan DAP. Tengok muka pemimpin DAP takut. (termakan dakwaan) DAP anti Melayu.

”Melayu tidak boleh terima begitu juga dengan Cina. Kena potong awang liku.

”Keadaan ini berlangsung bertahun-tahun. Yang bekerjasama ialah BN. Menanglah (BN) dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Namun ujarnya lagi, menjelang tahun 1999, PAS telah menongkah arus apabila mengambil tindakan nekad iaitu berkawan dengan DAP  dan penerokaan itu sekali lagi memperlihatkan kedua-dua parti ada titik persamaan meskipun mempunyai dasar yang berlainan.

”Kini kita teroka. Bincang tahu ada beza DAP-PAS ada dasarnya. Kita dapati ada perbezaan sikit tapi persamaannya banyak.

”(iaitu) Menentang kezaliman, ISA, Akta cetak. Semua Pakatan Rakyat tak suka. Rasuah. Oleh itu banyak perkara persamaan. Kita telah buat persefahaman yang diterima bersama.

”Yang terdapat dalam perlembagaan. Islam agama persekutuan. Raja Melayu. Hak istimewa orang Melayu. Bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Semua terima. (dan boleh) Bekerjasama,” katanya lagi.

Justeru itu jelas beliau lagi, kejayaan telahpun diperolehi bagi membolehkan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di beberapa buah negeri hasil daripada kerjasama yang diadakan.

”2008 pilihan raya dapat selesaikan masalah bertanding satu lawan satu. 5 negeri dapat,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada satu majlis ceramah yang dianjurkan PAS Kawasan Sri Gading baru-baru ini.

Kategori:Uncategorized Tag:

PAS Pontian Ada Skuad Perubatan Alternatif

Januari 18, 2012 Tinggalkan komen

image

PONTIAN – PAS Kawasan Pontian telah menubuhkan Skuad Perubatan Alternatif dan berjaya mengadakan khidmat itu di sekitar daerah Pontian.

Menurut Naib Ketua Pemudanya, Ustaz Muhammad Nazar, program yang diadakan itu berjaya dianjurkan dengan kebanyakan pengunjungnya adalah terdiri daripada warga emas, golongan wanita dan sebagainya.

”Program itu dijayakan oleh beberapa orang doktor Homeopathy, Pengamal Perubatan Islam As-syifa’ dan Pengamal Urutan Refleksiologi.

”Disamping itu, program ini turut memberi khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan terutamanya bagi pengidap penyakit kronik,” jelas beliau lagi.

Katanya lagi, program itu juga akan diteruskan setiap minggu sebagai tanda prihatin dan bagi menyampaikan sumbangan kebajikan kepada penduduk di Parlimen Pontian.

Tambahnya lagi, ada dikalangan pesakit yang ditemui menyatakan penghargaan kepada PAS Pontian atas usaha murni itu dengan mengadakan rawatan perubatan secara percuma sebagai alternatif dari yang sedia ada.

”Minggu lepas kami berada di kampung Parit Sikom. Alhamudillah sambutan memberangsangkan dan ada yang menyatakan khidmat ini ada sedikit kelainan dengan tempat lain.

”Inilah antara sumbangan yang dapat kami berikan kepada masyarakat dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Rawatan Perubatan Alternatif secara percuma di Taman Saujana, Jalan Parit semerah, Pontian, dekat sini, baru-baru ini.

Program ini juga telah melibatkan tiga sayap utamanya iaitu Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Nisa’ Kawasan Pontian.

Kira-kira 50 orang pengunjung telah berpeluang mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma itu.

Hadir sama, Dr. Mumazaini Misri, Timbalan Yang Dipertua, Prof Dr Ungku Mohd Noor Ungku Mahmood, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Pulai Sebatang.

Kategori:Uncategorized Tag: