Arkib

Archive for Mei 4, 2012

TANAH : Pulau Pisang Akan Jadi Seperti Batu Putih?

image

PONTIAN – Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) cawangan Pontian  meminta penjelasan berhubung kedudukan dan status Pulau Pisang yang terletak di perairan daerah ini yang dikhuatiri akan terlepas ke tangan pihak lain kerana statusnya masih kabur. Demikian penegasan Ustaz Mohd Faizul Hakim Ahmad, Ketua Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) Daerah Pontian.

Terdahulu, pihaknya telah menyerahkan memorandum berkaitan tanah kepada Tn Hj Zaid A Rahman, Ketua Penolong Pegawai Daerah di pejabat Daerah Pontian jam 2.45 petang, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, Pegawai Daerah Pontian tiada di pejabat kerana mempunyai komitmen lain di luar.

Pada majlis penyerahan memorandum itu juga hanya 5 orang wakil TANAH dibenarkan masuk iaitu Hj Ghazely Ayub, Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Johor, Razali Limat, Setiausaha Kerja PAS Pontian, Ustaz Muhammad Nazar, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pontian, Noor Saiful Amri A Suloh, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pontian.

Faizul bersama rombongannya dilihat keluar daripada pejabat tersebut jam 3.15 petang dengan diringi beberapa pegawai daripada Cawangan Khas (SB)manakala sidang akhbar bersama media dibuat susulan penyerahan dilakukan.

Selain 10 tuntutan yang terkandung dalam memorandum ini pihaknya turut meminta kerajaan memperjelaskan status Pulau Pisang, isu pencerobohan hutan simpan di kuala Sanglang dan isu penempatan Kampung Melayu Sungai Dungun, Pontian Besar.

Manakala isu yang dijangka hangat di daerah ini berkaitan masalah tanah adalah permohonan penduduk Kampung Sungai Dungun kepada pihak kerajaan UMNO yang memerlukan penempatan semula kerana kampung yang sedia ada kini berdepan risiko hakisan dan membahayakan seperti mana yang disiarkan laporannya ibn bacoks sebelum ini.

Sementara itu, Ghazely Ayub dalam respon ringkasnya menyebut isu berkaitan masalah tanah begitu banyak di daerah ini namun ia tidak berjaya diketengahkan kerana ada dikalangan pengadu yang tidak berani tampil kehadapan.

”Pontian banyak isu sebenarnya tapi tidak berani dedah. Sebagai contoh status Kampung Melayu Kukup walaupun sudah dapat status pajakan 100 tahun…,” ujarnya lagi.

Kategori:Uncategorized Tag:

TANAH : Tuntut Kembalikan Pulau Batu Putih

image

JOHOR BAHRU – Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) menuntut kerajaan UMNO supaya berusaha dan mencari kaedah bagaimana untuk mengembalikan Pulau Batu Putih yang dimiliki Singapura menjadi milik rakyat Malaysia.

Desakan itu dibuat kerana kerajaan gagal menyediakan bukti dan penghujahan semasa dalam perbicaraan yang berlangsung dalam Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda dengan mengakibatkan pulau tersebut terlepas ke tangan negara jiran itu.

Menurut Ketua Sekretariatnya, Suhaizan Kaiat, kedaulatan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kini pemilikannya berpihak kepada Singapura sedangkan pada tahun 1850-1953 merupakan sebahagian daripada wilayah Johor.

”Alasannya kerana Malaysia tiada bukti menjalankan kegiatan ataupun yang boleh diterima sebagai bukti kedaulatan sama ada pendudukan, pemerintahan mahupun penyeliaan atas pulau tersebut.

”Surat setiausaha kerajaan negeri Johor bertarikh 21/9/1953 dianggap mahkamah sebagai bukti menyerahkan kuasa dan kedaulatan kepada Singapura,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Negara sebelum ini dikejutkan dengan isu Pulau Batu Putih yang dilaporkan terlepas ke tangan Singapura setelah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda telah memutuskan hak kedaulatan pulau terbabit adalah milik kerajaan Singapura.

Sehubungan itu, TANAH menggesa orang ramai hadir pada 5 Mei di pekarangan pusat beli-belah terkenal Plaza Angsana sebagai menyokong tuntutan NGO tersebut agar didengari kerajaan.

Kategori:Uncategorized Tag:

TANAH : Isu Skudai Kiri, Rakyat Yang Untung – Salahuddin

JOHOR BAHRU – Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS menegaskan kehadirannya ke Kampung Skudai Kiri, dekat sini, 27 April lepas merupakan pelawaan penduduk berkenaan dan bukan pandai-pandai walaupun telah dihalang sekumpulan 20 orang pemimpin dan ahli seteru politik pembangkang.

Malah pihaknya melahirkan keyakinan bahawa hadirnya itu akan menarik perhatian pemimpin setempat dan tumpuan kepada masalah rakyat akan diutamakan kerana di situ merupakan kawasan kubu kuat Barisan Nasional.

”Sebelum ini kehadiran saya di Skudai Kiri adalah pelawaan penduduk yang menghubungi saya, sebab itu saya ke sana dan bukan pandai-pandai mahu datang.

”Saya juga telah datang kawasan PPR ini sebanyak tiga kali dan mereka (penduduk) juga telah ke Parlimen tahun lalu untuk menyuarakan masalah yang dihadapi namun masih tiada penyelesaian.

”Tetapi kehadiran saya di sini akan menarik perhatian pemimpin setempat dan akhirnya rakyat mendapat keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam perkembangam berkaitan, beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata pemberian subsidi berpatutan dan hak sewa-beli kepada penduduk PPR Kempas bakal direalisasikan sekiranya PR berpeluang menjadi pemerintah dalam negara ini.

”Pemberian hak sewa beli ini bukanlah satu perkara yang sukar, namun mengapa ia tidak diberikan kepada penduduk yang masih lagi menyewa di sini,” ujarnya lagi.

Akhbar sebelum ini melaporkan permintaan penduduk yang tidak puas hati dengan kerajaan yang mahu membangunkan kawasan tersebut tanpa pampasan yang setimpal. Mereka khuatir tanah rizab Melayu yang didiami itu akan terancam akibat aktiviti pembangunan yang akan dilaksanakan.

Kategori:Uncategorized Tag: